Dr. Joachim (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan tetamu jemputan dan semua warga kerja JHEANS.
KOTA KINABALU, 5 Oktober 2024: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru semua warga kerja Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) agar terus memberikan perkhidmatan dengan penuh profesional, mempunyai belas-kasihan dan paling penting, sentiasa berintegriti dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan membuat seruan itu pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang JHEANS yang diadakan di Pacific Sutera Harbour di sini kelmarin (4 Sept).
Majlis tersebut meraikan warga kerja jabatan yang telah memberikan sumbangan dan menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang tahun 2023.
Dr. Joachim juga mengucapkan tahniah kepada seluruh warga JHEANS atas pelancaran laman web jabatan.
“Laman web ini akan memudahkan akses kepada maklumat yang penting.
“Selain itu, ia juga mencerminkan komitmen kita dalam menggunakan teknologi untuk berkhidmat dengan lebih baik seiring dengan inovasi Kerajaan Negeri Sabah untuk melaksanakan transformasi kerajaan digital dalam penyampaian perkhidmatan yang cekap dan cemerlang,” ujarnya.
Mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah, beliau berharap agar usaha ini diteruskan sekaligus menjadi penyuntik semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang di masa hadapan.
Beliau berkata, APC merupakan penghargaan Kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan mengambil kira mutu atau penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya.
Setiap individu yang bekerja keras, berjuang, dan berkorban untuk mencapai cita-cita bersama, layak mendapatkan penghargaan sewajarnya, tambahnya.
Beliau juga mahu aspek integriti dan pemantapan anti-rasuah haruslah sentiasa menjadi agenda utama sesebuah organisasi atau individu agar sentiasa kukuh dan telus kerana “Rasuah menghancurkan kepercayaan, dan kepercayaan adalah dasar kemajuan.”
Beliau juga mendoakan kesihatan yang baik dan kejayaan kepada semua pesara dan mereka yang berpindah pada tahun 2023 dan 2024.
Turut hadir Pembantu Menteri I dan II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Ag. Supain; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri, Tindarama Dr/H Benedict Topin dan Pengarah JHEANS, Majaran Osman.