Hanisah
LABUAN: Pergerakan Wanita UPKO Bahagian Labuan menyokong penuh penggunaan logo dan bendera parti (UPKO) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke 17 yang akan diadakan pada bila bila masa.
Ketua Wanita UPKO Bahagian Labuan, Hanisah Mohd Bandi berkata, sokongan ini bukanlah satu bentuk penolakan terhadap kerjasama dengan mana-mana parti politik lain, tetapi lebih kepada menyuarakan kemahuan akar umbi yang mahu melihat identiti dan jati diri parti UPKO dikekalkan dan diketengahkan dalam menghadapi PRN tersebut.
“Penggunaan logo dan bendera sendiri dilihat sebagai satu langkah yang dapat memperkukuhkan semangat perjuangan, serta memberi keyakinan kepada penyokong dan pengundi bahawa UPKO tetap teguh dengan matlamat asalnya untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, khususnya masyarakat momogun dan semua kaum’, katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Hanisah berkata, Pergerakan Wanita UPKO Labuan percaya bahawa dengan membawa identiti sendiri, parti akan lebih kukuh dalam rundingan dan kerjasama politik, serta dapat memberi nilai tambah kepada gabungan yang bakal dibentuk.
Difahamkan PRN Sabah ke 17 dijangka akan diadakan sebelum hujung tahun ini, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadual bubar secara otomatik pada 11 November tahun ini.



