Supt. Mohd Hamizi
LABUAN: Seorang wanita tempatan berputih mata kerugian RM33,508.25 apabila menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang dipromosikan di applikasi Instagram baru baru ini.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu terpengaruh dengan sebuah iklan di Instagram yang menjanjikan pulangan pelaburan yang lumayan.
“Mangsa tertarik dengan tawaran itu, lalu terus menghubungi pengendali akaun menerusi Whatsapp dan diyakinkan untuk membuat beberapa transaksi kedalam akaun bank berlainan antara Januari hingga April” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Jumaat.
Mohd Hamizi berkata sebelum ini mangsa membuat pelaburan sebanyak RM300 dan menerima pulangan sebanyak 10 peratus dan seterusnya mangsa membuat transaksi tambahan di pelbagai akaun berjumlah RM 33,508.25 secara berperingkat.
“Mangsa mula menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan mengenai pelaburannya
“Mangsa telah menghubungi beberapa kali individu berkenaan namun gagal menerima jawapan.
“ Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 23 April lalu”,katanya.
Berikutan laporan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mohd Hamizi menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati hati dan mengelak daripada menjadi mangsa skim pelaburan yang tidak wujud terutama yang dipromosikan melalui media sosial.



