KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah sebulat suara menyatakan sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah.
Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRU Dewan Undangan Sabah yang lalu jelas memperlihatkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang terbukti mampu membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan pembangunan negeri Sabah.
Sehubungan itu, seluruh jentera dan kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat disemua peringkat digesa untuk memperteguh kesatuan saf perjuangan dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Sokongan ini amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan.
Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah baru-baru ini. Kami menaruh penuh keyakinan agar barisan kabinet yang dilantik ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas, penambahbaikan serta peluasan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat, pemerkasaan agenda wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus dan penggunaan sumber negeri secara berhemah serta terus konsisten mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
Kami yakin dan percaya bahawa tempoh lima tahun pentadbiran akan datang akan menjadi saksi kepada keupayaan Kerajaan GRS Plus untuk membawa Sabah ke arah sebuah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing, demi kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang.



