30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Usaha menyeluruh perlu kearah kesaksamaan gender: James

Tengku Naufal menerima sijil penghargaan disampaikan James (kanan)


PAITAN: Usaha kearah kesaksamaan gender mampu dicapai melalui langkah awal iaitu pemahaman atau kesedaran terhadap gender dan perspektif gender oleh pelbagai lapisan masyarakat.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, kesaksamaan gender adalah tanggungjawab semua pihak, bermula dari unit kecil dalam keluarga sehingga kepada unit besar iaitu dalam pentadbiran kerajaan.


“Pihak kerajaan sememangnya telah memberi perhatian mengenai isu-isu gender di negara ini seperti mewujudkan pelbagai usaha mengarusperdanakan kesaksamaan gender agar kemajuan wanita dapat dipertingkatkan, seiring dengan kemajuan di kalangan kaum lelaki.


“Usaha seperti ini akan memberi ruang dan peluang yang sama rata kepada, wanita untuk maju dan terlibat dalam pembangunan seperti juga kaum lelaki.


“Sehubungan dengan itu, penghargaan harus diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah kerana terus giat berusaha untuk mempromosikan program-program gender demi memberi kesedaran, kepekaan dan kefahaman tentang isu-isu gender dikalangan masyarakat,” kata beliau.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Program Mengarusperdanakan Gender Dalam Pembangunan Luar Bandar Daerah Paitan yang diadakan di Dewan Terbuka, Pejabat Daerah Kecil Paitan pada hari Isnin.


James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.48 Sugut berkata, seramai 300 orang peserta menghadiri program yang melibatkan Pengerusi-Pengerusi JPKK, Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Cina di Daerah Paitan.


Beliau mengucapkan terima kasih Pengarah JHEWA Sabah, Hajah Haslina Ismail, kerana memilih daerah Paitan sebagai salah satu daerah untuk menganjurkan program gender pada tahun 2023.


“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kerana atas inisiatif JHEWA Sabah dengan Pejabat Daerah Kecil Paitan, Uppm N.48 Sugut dan agensi-agensi lain yang terlibat kerana telah berganding bahu untuk menjayakan program ini.


“Saya merasa teruja dan gembira melihat para jurulatih yang berbakat serta menunjukkan komitmen yang tinggi kerana selain melaksanakan tugas di jabatan masing-masing mereka juga turut membantu jabatan memperkasakan kepekaan gender ini,” kata beliau.


Menurut James, dalam Rancangan Malaysia Ke12, Sabah masih mengutamakan pembangunan pakar gender iaitu latihan para jurulatih ‘train the trainers’ (TTT) disamping melaksanakan program kepekaan gender seperti yang diadakan pada Isnin.


“Program seumpama ini seharusnya dijadikan sebagai program tahunan bagi memberi pendedahan mengenai keperluan gender dalam pembangunan kerana, golongan inilah yang akan bertanggungjawab membantu pemimpin atasan dalam soal-soal pembangunan luar bandar terutamanya menglibatkan hal ehwal komuniti kampung dari segi pembangunan infrastuktur, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.


“Justeru, pendedahan awal tentang konsep gender ini, saya percaya akan memberi pengalaman baru kepada semua pemimpin di sini,” kata beliau.


Tambah beliau lagi, diharapkan pemimpin mengambil konsep gender ini dengan fikiran yang terbuka dan tidak bersikap ekstrem dalam usaha kerajaan memastikan perpaduan dan kesefahaman rakyat terus terpelihara.


“Saya juga berharap agar mereka yang telah mengikuti program ini lebih peka kepada keperluan dan kepentingan pembangunan inrastruktur berteraskan gender agar keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum sentiasa terpelihara,” kata beliau.


Selain program gender ini, James memberitahu bahawa terdapat satu kursus kemahiran ibu tunggal dan wanita B40 iaitu kursus bakeri yang telah berlangsung selama 3 hari sejak 18 mac 2023 sehingga hari ini.


“Seramai 25 orang peserta kursus tersebut juga menyertai program hari ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan pihak penganjur atas inisiatif dalam pembangunan wanita di daerah Paitan.


“Kursus ini amatlah bermanfaat kepada para wanita daerah ini kerana dapat memberikan peluang kepada mereka untuk menceburi bidang bakeri. Para wanita dapat memulakan perniagaan dari rumah dengan menerima tempahan- tempahan dari keluarga, rakan-rakan mahupun penduduk setempat ataupun yang berhampiran.


“Semoga para peserta kursus kemahiran yang terdiri daripada ibu tunggal dan wanita B40 dapat memulakan perniagaan mereka dan menjana pendapatan yang tetap dan seterusnya mungkin boleh membuka premis perniagaan sendiri,” kata beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN