ADVERTISEMENTspot_img

UPKO mahu perkukuh GRS, agenda MA63 menerusi kerjasama politik Sabah

ULANG TAHUN… Ewon Benedick (tiga, kanan) bersama barisan pimpinan tertinggi UPKO mengiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun UPKO di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang, semalam.

PENAMPANG: Penyertaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini mampu memperkukuh kesatuan parti-parti tempatan dalam usaha memperjuangkan kepentingan Sabah, termasuk memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi agenda utama kerajaan negeri.

Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata penyatuan itu memberi ruang kepada parti berkenaan untuk menyumbang kepada kekuatan GRS, khususnya dalam menjayakan agenda pembangunan negeri menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0.

Beliau berkata keputusan UPKO menyertai GRS dibuat berdasarkan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor, selain mengambil kira perkembangan pelaksanaan tuntutan berkaitan MA63.

“Setakat hari ini, 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 telah dilaksanakan sepenuhnya, termasuk 11 perkara yang berkaitan dengan Sabah.

“Kesemua perkara yang telah dilaksanakan sepenuhnya ini telah dimuktamadkan dan diselesaikan di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UPKO ke-32 sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini semalam.

Ewon berkata perkara berkaitan MA63 yang masih dalam proses penyelesaian, termasuk yang telah mempunyai keputusan dasar atau dirujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi, memerlukan kesatuan dan kerjasama semua pihak dalam kerajaan negeri, khususnya dalam GRS.

Menurutnya, jika sebelum ini beliau bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bekerjasama memperjuangkan pelaksanaan MA63 melalui Kabinet Persekutuan, penyertaan UPKO dalam GRS kini membuka ruang kepada kerjasama itu diperkukuh dalam platform gabungan parti tempatan Sabah.

Beliau berkata UPKO dan GRS turut mempunyai simbolik tersendiri menerusi Gunung Kinabalu yang menjadi elemen penting dalam identiti kedua-dua organisasi politik itu.

“UPKO menggunakan Gunung Kinabalu sebagai benderanya, manakala GRS juga menggunakan Gunung Kinabalu sebagai latar logonya. Maka sebenarnya pertalian ini sudah semula jadi terbina melalui semangat Kinabalu yang menyatukan kita semua,” katanya.

UPKO diterima sebagai parti komponen keenam GRS pada 18 Jun lepas selepas Majlis Tertinggi GRS membuat keputusan secara sebulat suara menerima permohonan parti berkenaan.

Ewon berkata tahun 2026 wajar dijadikan titik permulaan kepada era baharu politik Sabah dengan semua parti tempatan memberi tumpuan kepada masa depan negeri dan rakyat, bukannya terus terikat dengan perbezaan serta sejarah politik lampau.

“Sabah memerlukan fokus besar dalam menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0. Fokus besar ini pastinya akan dapat dibina, dikemaskan, digerakkan dan dijayakan apabila semua kita bersetuju bahawa masa depan Sabah dan rakyatnya harus menjadi agenda tunggal kita bersama,” katanya.

Beliau berkata UPKO mahu menyumbang kepada pengukuhan GRS berasaskan prinsip perjuangan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, selaras dengan hasrat memastikan pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada rakyat.

Ewon berkata pengalaman UPKO sepanjang 32 tahun memperlihatkan parti itu melalui pelbagai perubahan landskap politik di peringkat negeri dan nasional, namun perjuangan berteraskan kepentingan Sabah kekal menjadi asasnya.

“Sepanjang tempoh 32 tahun ini juga, UPKO sentiasa menjadikan Wawasan dan Agenda Sabah First sebagai asas perjuangan, perkhidmatan dan pelayanan kepada rakyat.

“Kini, berada dalam GRS, izinkan UPKO menyumbang kepada kekuatan sedia ada GRS terutama menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 berasaskan kepada Wawasan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 yang berlangsung esok akan membahaskan enam usul utama selain Ucapan Dasar Presiden sebelum perwakilan memilih barisan kepimpinan Majlis Tertinggi bagi penggal seterusnya.

Beliau berkata jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden telah dimenangi tanpa bertanding, yang menurutnya mencerminkan kesatuan dalam kepimpinan parti.

Katanya, kesatuan dalam UPKO akan membolehkan parti itu mengambil bahagian dalam memperkukuh keluarga besar GRS, khususnya dalam agenda pembangunan rakyat dan perjuangan memastikan pelaksanaan penuh MA63.

Sementara itu, Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada Hajiji dan pimpinan tertinggi GRS atas kesediaan menerima UPKO sebagai sebahagian daripada gabungan berkenaan.

Beliau berharap kerjasama itu dapat membuka lembaran baharu politik Sabah yang lebih bersatu dan memberi tumpuan kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN