ADVERTISEMENTspot_img

UPKO mahu Perjanjian Petronas disemak semula

EWON ketika ditemui media pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, hari ini.

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mahu Perjanjian Petronas 1976 yang menetapkan pembayaran royalti minyak kepada Sabah disemak semula sekiranya benar perjanjian itu tidak pernah dibincangkan atau mendapat persetujuan Kerajaan Sabah.

Beliau berkata, UPKO mengambil perhatian serius terhadap pendedahan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan, bahawa Perjanjian Petronas 1976 yang memberikan Sabah hanya lima peratus royalti minyak tidak pernah dibentangkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah.

“Kalau betullah ianya tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet ataupun tidak pernah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah, UPKO mendesak supaya Perjanjian Petronas mesti disemak semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, hari ini.

Ewon berkata, UPKO tidak bersetuju dengan pandangan bahawa isu minyak dan gas merupakan bidang kuasa Persekutuan semata-mata hanya kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah diluluskan di Parlimen.

Menurutnya, mana-mana perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah seharusnya mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah.

“Pendirian kita, mana-mana perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah harus mendapat persetujuan daripada Kerajaan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata UPKO turut menuntut pelaksanaan pembayaran penuh 40 peratus hasil kepada Sabah dan berpandangan pembayaran interim yang diterima ketika ini hanyalah langkah sementara.

“Interim itu, pembayaran interim hanyalah langkah sementara sahaja. Itu tidak harus sampai bila-bila. Interim maksudnya sementara,” katanya.

Beliau berkata, alasan berkaitan konflik atau peperangan di negara lain tidak seharusnya menjadi sebab untuk melambatkan pembayaran penuh 40 peratus kepada Sabah kerana rakyat dan syarikat yang beroperasi di negeri ini tetap membayar cukai, manakala hasil negeri terus dikutip.

Sehubungan itu, Ewon berkata UPKO mencadangkan pendekatan yang pernah dilaksanakan pada awal 1960-an ketika Singapura masih menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, iaitu 40 peratus daripada pungutan hasil Persekutuan dikekalkan di Sabah dan disalurkan terus kepada Kerajaan Sabah, manakala 60 peratus dimasukkan ke dalam akaun hasil Kerajaan Persekutuan.

“Ini boleh dibincang cara mekanismenya. Kalau dulu Singapura boleh buat begitu semasa masih berada dalam Persekutuan Malaysia, saya tidak melihat ianya sukar dilaksanakan,” katanya.

Ewon berkata, pendirian berhubung perkara itu akan dibahaskan oleh perwakilan UPKO dan sekiranya dipersetujui, beliau akan membawa mandat tersebut untuk dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah selaku Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pimpinan tertinggi GRS serta Kerajaan Negeri Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN