Barisan AJK Pelaksana dan AJK Teknikal KOT -71
TUARAN: Jabatan Pendidikan Jasmani, Kesihatan dan Kokurikulum (JPJKK), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent telah menganjurkan Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) yang ke-71, bertempat di Kompleks Sukan Tuaran baru-baru ini.
Pelajar Elektif Pendidikan Jasmani Ambilan Jun 2021/2026 dan Jun 2022/2027 telah mengelola kejohanan ini dengan jayanya, dibantu oleh Daniel Hedwig Chew selaku Penyelaras Kejohanan, dan Dr. Siti Norashikin Binti Mastun sebagai Pengarah Kejohanan.
KOT pada kali ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kent iaitu Haji Harun Bin Haji Sarail. Gimik perasmian juga telah dilancarkan oleh beliau, diikuti dengan perarakan keluar barisan kontinjen bagi setiap rumah sukan.
Upacara nyalaan obor telah disempurnakan oleh wakil daripada IPGM Kampus Kent, Joevivian Jamson dengan jayanya.
KOT kali ini juga telah menampilkan lagu tema berjudul Cita Setinggi Angkasa sebuah inisiatif Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dengan kolaborasi bersama Kentari dan Sada Borneo untuk memeriahkan lagi suasana KOT.
Komposer lagu ini adalah ciptaan pelajar-pelajar elektif Pendidikan Jasmani iaitu Lawrence Alliu, Evan Rexell Joannes dan Muhd Nazrey bin Sabli manakala penyanyi adalah terdiri daripada Jurina Jonimin, Ellfred Billie Kassim, Meronyca Mikin, Amir Nur Zikry bin Rudiman dan Farlince Zimi Henry Kubot.
Sambutan gemuruh serta semangat daripada para pelajar IPGM Kampus Kent dengan menglibatkan diri dengan mengikuti acaraāacara yang telah dipertandingkan telah menaikkan suasana kejohanan olahraga ini.
Pelbagai acara yang diadakan pada kejohanan kali ini, termasuklah acara balapan dan acara padang yang menjadi sambutan hangat daripada para pelajar IPGM Kampus Kent.
Beberapa rekod baru telah berjaya dipecahkan oleh peserta yang mengikuti acara, antaranya ialah Muhammad āAmmar bin Jaafar dari Unit Pendidikan Islam 2 Ambilan Jun 2021/2026, yang telah memecahkan rekod bagi acara 400 meter (59 saat) dan acara 800 meter (2 minit 27.3 saat) bagi kategori lelaki.
Manakala bagi kategori perempuan, Joevivian Jamson dari Unit Bahasa Kadazandusun Ambilan Jun 2021/2026 yang berjaya membuat rekod baharu bagi acara 200 m (28 saat) dan acara 400 m (1 minit 5.6 saat) bagi kategori perempuan.
Hasil kejayaan ini telah melayakkan Ammar dan Joevivian untuk dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati bagi KOT-71. Pencapaian mereka telah menjadi inspirasi bagi seluruh warga IPGM Kampus Kent untuk terus bergiat aktif dalam sukan.
Kejohanan pada kali ini disemarakkan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan daripada SMK Badin, SMK Tamparuli, dan Tuaran Athletics.
Wakil daripada setiap jemputan berjaya menghantar wakil bagi acara relay jemputan. Tambahan pula, IPGM Kampus Kent juga menghantar wakil bagi acara ini untuk bertanding dengan para atlet daripada jemputan luar.
Keputusan bagi relay jemputan kategori perempuan dijuarai oleh Tuaran Athletics, dan bagi kategori lelaki pula dimenangi oleh IPGM Kampus Kent.
Penutupan majlis telah dirasmikan oleh Pengarah IPGM Kampus Kent, Dr. Hamidah Binti Samsudin. Beliau sekaligus telah menyampaikan hadiah kepada olahragawan dan olahragawati, anugerah rumah sukan terbaik, dan anugerah keseluruhan.
Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-71 ini diharapkan agar dapat memberi kesediaan kepada atlet IPGM Kampus Kent untuk mewakili KAGUM yang akan diadakan di Terengganu pada masa yang akan datang.
Sesi penutupan ini diakhiri dengan upacara menurunkan bendera kejohanan oleh Muhammad Ammar dan sesi fotografi sebagai tanda kenangan.
Diharapkan agar pengelolaan kejohanan olahraga pada kali ini dapat menaikkan semangat kesukanan kepada setiap pelajar IPGM Kampus Kent.
Malah, diharapkan juga agar barisan Ahli Jawatankuasa yang memberi sepenuh komitmen dalam menjayakan kejohanan ini dapat menimba ilmu dan pengalaman yang akan memberi kelebihan kepada mereka semasa bertugas disekolah suatu hari nanti.