26 C
Kota Kinabalu
Khamis, September 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

UMSKAL bantu golongan asnaf

Dr. Mohamad Rizal (tengah) bersama kakitangan yang menerima sumbangan wang tunai dan barang makanan.

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) meneruskan tradisinya membantu asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan menerusi penganjuran Program Ziarah Ramadan 2024 yang diadakan baru baru ini.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid di ruang legar Bangunan Menara UMSKAL.

Turut hadir Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin serta Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Nur Iman Reedzal.

Pada tahun ini, seramai 28 individu menerima wang tunai dan barang makanan sumbangan kakitangan UMSKAL sendiri.

Mereka membabitkan 12 asnaf, 11 kakitangan yang memerlukan bantuan dan 5 waris kakitangan yang telah meninggal dunia.

Dr. Mohamad Rizal berterima kasih kepada kakitangan SHEP yang menjadi urus setia program berkenaan.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua kakitangan yang menyumbang wang, barang makanan dan tenaga serta kakitangan yang menyertai aktiviti ziarah dan penyerahan sumbangan selama dua hari program itu diadakan.

“Sudah tentu sumbangan kita kepada komuniti dan kakitangan UMSKAL sendiri merupakan satu kenangan yang sukar dilupakan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang menjayakan program tahunan itu,”katanya.

Nur Iman (dua kiri) bersama kakitangan UMSKAL dan KPDNKSH menyampaikan sumbangan di Kampung Patau-Patau Satu.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada waris kakitangan UMSKAL yang meninggal dunia di Kampung Gersik, Pantai, Snngai Bedaun, Sungai Labu dan Sungai Miri pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Nur Iman Reedzal selaku urus setia program berharap sumbangan itu dapat menceriakan asnaf dan kakitangan serta waris menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri 2024.

“Asnaf dan waris mengucapkan terima kasih atas ingatan kakitangan UMSKAL kepada mereka.

“Semoga kita sentiasa peka dan dapat membantu golongan yang memerlukan pada bila-bila masa,”katanya.

Penyelaras Program, Mohd Nurulizam Tinggal mengetuai penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf di Kampung Patau-Patau Satu, Patau-Patau Dua, Tanjung Aru, Lajau, Durian Tunjong, Perumahan MPL Batu Arang, Sungai Bangat, Bukit Kallam dan Belukut.

Mohd Nurulizam tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Malaysia Labuan yang turut bekerjasama memberikan sumbangan kepada asnaf.

“Terima kasih juga kepada ketua kampung, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sukarelawan mereka.

“Semoga usaha murni semua pihak itu mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah SWT,”katanya.

 

 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN