26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Jun 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

UMS-SK. KUNDASANG BAKAL MENGETENGAHKAN APLIKASI DIGITAL UNTUK TAMAN EKO SAINS KUNDASANG

Oleh: Dr. Jurry Foo
jurryfm@ums.edu.my
Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. (Rakan strategik Taman Eko Sains Kundasang; Rakan Strategik Kolumnis BDB)

UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) berkolaborasi dengan SK. Kundasang dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta komuniti desa dalam membangunkan Teknologi AR yang merupakan aplikasi digital sebagai mendekatkan murid dan komuniti dengan bahan yang ada di Taman Eko Sains Kundasang. Ini juga sebagai langkah untuk menyalurkan maklumat pengajaran dan pembelajaran formal dan tidak formal secara dalam talian sesuai dengan perkembangan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan PdPR yang sedang berlangsung dalam menghadapi pandemik COVID19.

Projek penyelidikan yang diketuai Puan Siti Hasnah Tanalol dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), UMS ini telah menyediakan platform digital yang akan diisikan dengan maklumat maklumat STEM oleh kumpulan guru dari SK Kundasang melalui bengkel yang akan diadakan dalam masa terdekat ini. Bengkel penyempurnaan aplikasi itu itu nanti akan dibantu ahli projek lain termasuk Dr. Samry@Mohd Shamrie Sainin yang merupakan anak jati Kundasang, En. Nordin Saat,
Puan Asni Tahir dan Saintis Muda Negara Dr. Aslina Baharum. Manakala penyelidik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) bertanggungjawab dari segi segi koordinasi, perancangan operasi dan penyediaan maklumat berkaitan budaya dan penggunaan tumbuhan dalam kalangan komuniti.

Dr.Jurry Foo

Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa daerah Ranau, Sabah bertuah mempunyai Taman Eko Sains pertama di Malaysia yang berkonsepkan Pembelajaran Science, Technology, Engineering & Mathematics (STEM) untuk manfaat komuniti.  SK. Kundasang di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Ranau diberikan mandat oleh Pusat Sains Negara (PSN) sebagai pengendali operasi taman tersebut sebagai satu daripada inisiatif pembelajaran tidak formal bagi menyemarakkan dan mendekatkan masyarakat dengan aplikasi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan seharian.

‘Eko Sains’ adalah nama khas yang diberikan kepada taman tersebut iaitu melambangkan konsep  sains sebagai satu proses kehidupan, di mana kehidupan sebenarnya terbentuk daripada interaksi antara biotik (benda hidup) yang disokong oleh fungsi abiotik (benda tidak hidup). Manakala sains dalam konteks ini adalah proses-proses yang wujud dalam interaksi tersebut seperti aliran tenaga dan bahan. Satu daripada objektif Taman Eko Sains ialah meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dari aspek kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah sains asas melalui bahan pameran dan aktiviti STEM yang interaktif, inovatif dan kreatif.

Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID19 telah menjejaskan operasi taman ini. Menyedari tanggungjawab yang perlu direalisasikan, SK. Kundasang yang diterajui Guru Besar Puan Asnah Ariffin dibantu guru-guru telah merangka beberapa strategi untuk merancakkan semula operasi taman Eko Sains. Langkah pertama ialah mengadakan perbincangan lanjut dengan satu daripada rakan strategik taman, iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Bengkel Pemantapan Taman Eko Sains Kundasang Siri 1 yang telah diadakan baru-baru ini. Solusi daripada bengkel tersebut ialah mengadakan tiga fasa pemantapan taman iaitu daripada Fasa pemantapan kapasiti dalaman Taman Eko Sains, Fasa pelaksanaan dan seterusnya Fasa amalan.

Satu modul juga telah dirancang untuk mewujudkan ‘Hero Eko Sains’ dalam kalangan murid yang berpotensi membimbing rakan sebaya mendekati, memahami dan meminati STEM.
SK. Kudasang yakin kerjasama antara pelbagai pihak adalah penting dalam mengoperasikan taman ini, oleh itu pihak sekolah akan menjemput semula rakan strategik lain yang terlibat dalam penubuhan awal taman ini termasuk Pusat Sains Negara, Taman Sabah, Politeknik, Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian untuk memberikan sumbangsaran dan kerjasama memperkasakan operasi taman. Manakala bagi pihak lain yang ingin memberikan sumbangan dan cadangan turut dialu-alukan. Diharapkan Taman Eko Sains ini dapat terus memberikan manfaat kepada semua pihak bukan sahaja dari segi akademik tetapi dari segi penyediaan input pengetahuan dan kesedaran untuk menghargai dan menguruskan persekitaran secara lestari.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN