Gambar- Umie Khasumah Binti Zailam, Pengarah Program UMS-SPRINT Tuisyen
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan komuniti menerusi pelaksanaan Program SULAM Ilmu (2.0): Membina Masa Depan Melalui Pendidikan, yang menyediakan kelas bimbingan akademik secara percuma kepada pelajar sekolah sekitar Kota Kinabalu.
Program anjuran Kursus Kokurikulum Berkredit Interaksi Institusi dan Masyarakat (INTERIM), Seksyen 2, Semester 2 Sesi 2025/2026 itu berlangsung selama tujuh minggu bermula 25 April hingga 20 Jun lalu, melibatkan 50 mahasiswa sebagai fasilitator yang mengendalikan sesi pembelajaran secara konsisten dalam suasana kondusif, interaktif dan berpusatkan pelajar.
Pengarah Program, Umie Khasumah Zailam berkata inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan prestasi akademik peserta melalui bimbingan tambahan yang sistematik, selain membina keyakinan diri dan motivasi mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Beliau berkata sepanjang program berlangsung, tujuh kumpulan mahasiswa mengendalikan sesi bimbingan mingguan melibatkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
“Pendekatan pengajaran yang disesuaikan mengikut tahap penguasaan peserta berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan dan menarik, sekali gus meningkatkan minat serta keyakinan mereka terhadap pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, selain membantu meningkatkan penguasaan akademik, program itu turut memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah melalui interaksi berterusan antara mahasiswa dan peserta.
Sementara itu, Jurulatih Kursus INTERIM, Dr. Amer Azlan Abdul Jamal berkata Program SULAM Ilmu (2.0) merupakan manifestasi komitmen UMS dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat atau Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM).
Beliau berkata program berkenaan bukan sahaja menyediakan bantuan akademik kepada pelajar, malah memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu, kemahiran kepimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah dalam situasi sebenar.
“Program ini membuktikan pendidikan merupakan medium terbaik untuk memperkasakan komuniti. Apabila mahasiswa turun padang berkongsi ilmu dan pengalaman, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh peserta, malah membentuk mahasiswa sebagai agen perubahan yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMS, Prof. Madya Dr. Jurry Foo berkata pelaksanaan program berimpak tinggi seperti SULAM Ilmu (2.0) selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi kecemerlangan akademik, kemahiran insaniah dan tanggungjawab sosial.
Beliau berkata penglibatan aktif mahasiswa dalam program khidmat komuniti membolehkan mereka mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam konteks sebenar, di samping mengukuhkan hubungan strategik antara universiti dan masyarakat.
Program itu mendapat sokongan dana Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang disalurkan oleh Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS bagi memperkukuh pelaksanaan pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat.
Kejayaan Program SULAM Ilmu (2.0) membuktikan pendekatan bimbingan akademik yang tersusun dan berterusan mampu meningkatkan pencapaian akademik, keyakinan diri serta motivasi pelajar sekolah, selain memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pemangkin perubahan sosial melalui pemindahan ilmu kepada komuniti.



