25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

UMS Lancar Projek SATREPS Bernilai RM14.26 Juta — Geran Penyelidikan Terbesar Dalam Sejarah Universiti

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini melancarkan projek penyelidikan antarabangsa bertajuk “Sustainable Control of Zoonotic Malaria Through an Integrated Approach” di bawah program SATREPS (Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development) bernilai RM14.26 juta, menjadikannya geran penyelidikan terbesar dalam sejarah UMS.

Projek lima tahun ini dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (MoHE), Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Japan Agency for Medical Research and Development (AMED). Ia memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian mampan bagi menangani malaria zoonotik, khususnya Plasmodium knowlesi, yang masih menjadi cabaran kesihatan awam utama di Sabah dan penghalang Malaysia mencapai pensijilan penghapusan malaria oleh WHO.

Projek SATREPS diterajui bersama oleh Prof. Dr. Kamruddin Ahmed (Malaysia) dan Prof. Dr. Osamu Kaneko (Jepun). Kesemua lima sub-projek di bawah SATREPS dipimpin oleh ahli akademik dan penyelidik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah, iaitu:
• Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree
• AP. Dr. Syed Sharizman Syed Abdul Rahim
• Dr. Azman Atil @ Azmi
• AP. Dr. Fong Siat Yee @ Alison

Ini secara jelas mencerminkan keupayaan penyelidikan dan kepimpinan kukuh FPSK UMS dalam bidang perubatan tropika dan kesihatan awam.

Projek ini merangkumi:
• pembangunan kit diagnostik pantas bagi pengesanan malaria;
• analisis genetik dan virulens parasit malaria zoonotik;
• pemetaan transmisi yang melibatkan manusia, nyamuk dan makaka;
• penemuan sebatian anti-malaria daripada tumbuhan asli Sabah;
• inisiatif pendidikan komuniti untuk mengukuhkan pencegahan dan daya tahan kesihatan awam.

Hasil penyelidikan ini dijangka memberi sumbangan besar kepada usaha Malaysia mencapai penghapusan malaria serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi penyakit berjangkit yang muncul di rantau ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, menyifatkan pelancaran projek SATREPS sebagai satu mercu tanda penting bagi universiti:

“Projek SATREPS bernilai RM14.26 juta ini merupakan geran penyelidikan terbesar yang pernah diterima UMS. Ia menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap kepakaran penyelidik UMS dan komitmen kami untuk menangani isu kesihatan sebenar yang memberi impak kepada rakyat Sabah.”


“UMS kini berada di barisan hadapan penyelidikan penyakit tropika, sejajar dengan aspirasi kami sebagai ‘The Brain of Borneo’.”

SATREPS (Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development) ialah program Kerajaan Jepun yang dilaksanakan bersama oleh Japan Science and Technology Agency (JST) dan JICA. Ia mempromosikan penyelidikan bersama antarabangsa dalam bidang seperti alam sekitar, bioresources, penyakit berjangkit, tenaga dan pencegahan bencana.

Program ini menghubungkan penyelidik Jepun dengan negara rakan bagi menghasilkan pengetahuan dan teknologi baharu yang menyokong pembangunan mampan di peringkat tempatan dan global.

UMS merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, serta Bringing Back Our Rare Animals (BORA) atas sokongan mereka dalam kejayaan pelaksanaan projek penyelidikan berskala besar ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN