28 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 18, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

UMS jayakan Karnival Kokurikulum ‘Borneo Mendunia’ tonjol kepelbagaian etnik global

Sebahagian mahasiswa bangga memperagakan baju tradisi etnik Sabah

KOTA KINABALU: Slogan UMS The BRAIN of BORNEO dizahirkan melalui penganjuran Karnival Kokurikulum Kursus Kokurikulum Berkredit (KarKUMS) bertemakan ‘Borneo Mendunia’ yang berlangsung meriah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.

Program yang menghimpunkan lebih 3,000 mahasiswa itu melibatkan pelajar yang mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit dan turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi universiti termasuk Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, dekan serta pengarah, selain penyertaan orang awam dan pelancong.

UMS dalam kenyataan memaklumkan, karnival berkenaan turut dianjurkan di Fakulti Pertanian Lestari Sandakan dan Kampus Antarabangsa Labuan minggu lalu, sekali gus memperluas penglibatan komuniti kampus di luar Kota Kinabalu.

Barisan duta Borneo Mendunia


Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS berkata, tema ‘Borneo Mendunia’ membawa maksud kempen meraikan kepelbagaian etnik global, dengan mahasiswa diberi peluang mempelajari keunikan budaya melalui peragaan busana etnik pelbagai bangsa.

Menurut beliau, sepanjang semester ini PKPP berjaya membimbing pelajar melaksanakan 67 program khidmat masyarakat di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang bertemakan UMS-SPRINT-SDG-ESG-SULAM (Service Learning Malaysia- University for Society), hasil sokongan dana SULAM daripada Pusat Perkembangan dan Pembangunan Akademik (PPKA) UMS.

“Program berkenaan turut melibatkan kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, antaranya aktiviti STEM di Sekolah Kebangsaan Darau, pengangkatan Sekolah Kebangsaan Selupoh sebagai sekolah angkat Kursus Seni Batik serta jalinan kerjasama Kursus Bina Urus Komputer bersama Sekolah Kebangsaan Malawa,” katanya.



Persembahan bakat

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, ketika merasmikan karnival tersebut menyifatkannya sebagai antara acara paling meriah dan berinformatif berkaitan etnik sepanjang tempoh perkhidmatannya di universiti itu.

Beliau memuji komitmen serta semangat kerjasama tinggi dalam kalangan mahasiswa dan menyatakan keyakinan bahawa penganjuran program di bawah PKPP mampu membentuk kemahiran insaniah sekali gus melahirkan graduan holistik.

Pengarah pelajar KarKUMS, Muhammad Zubair bin Osman, berkata peluang memimpin penganjuran program berskala besar itu memberi pengalaman berharga kepadanya, khususnya dalam aspek kepimpinan dan kerja berpasukan.



Profesor Madya Dr. Jurry Foo, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (PKPPUMS

Pelajar tahun dua Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan itu berkata, pengalaman tersebut diperkukuh melalui bimbingan penyelaras program, Dr. Sharifah Ramahah Amirul dan Dr. Juhar Harun.

KarKUMS turut dimeriahkan dengan penglibatan rakan PKPP, alumni pelajar, penampilan unit beruniform baharu RELASIS dan PASKAM, pameran akademik, persembahan kebudayaan dan bakat, aktiviti sukan serta pertandingan berasaskan etnik global.

Selain itu, karnival berkenaan diserikan dengan kempen derma darah bersama Kementerian Kesihatan Malaysia serta promosi keahlian Malaysia Airlines, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara universiti, agensi kerajaan dan industri.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN