GAMBAR: MESRA… Bashir (baris depan dari kanan) bersama rakan media di kediamannya pada Sabtu.
LABUAN: UMNO Bahagian Labuan ‘tidak pernah berdendam’ kepada mana-mana ahlinya yang sebelum ini telah meninggalkan parti untuk menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan kini ingin kembali semula kepangkuan UMNO.
Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Haji Bashir Haji Alias berkata, pintu UMNO masih terbuka kepada mereka yang berhasrat untuk kembali semula ke pangkuan UMNO.
“Kita tidak menolak besar kemungkinan ramai bekas ahli UMNO akan menyertai semula setelah merasai pengalaman dan suasana yang berbeza dalam parti PH, secara jujur UMNO Labuan tidak mempraktikkan ‘politik berdendam’… pintu kita masih terbuka untuk mereka kembali kepangkuan UMNO” katanya kepada media di kediamannya, Sabtu lalu.
Beliau berkata, walaupun ramai dikalangan ahli UMNO yang telah meninggal parti dan berhijrah ke parti pemerintah (PH) ketika itu, namun semangat perpaduan di kalangan ahli-ahli Umno yang sedia ada masih kental dan terus memberikan sokongan yang cukup padu kepada kepimpinan parti untuk sama-sama berjuang membela nasib rakyat.
“Kita akui selama 22 bulan terakhir berada di blok pembangkang tidak semudah apa yang rakyat harapkan…..malah lebih banyak mengecewakan rakyat, ”katanya
Jelas Bashir lagi, Umno Labuan ketika ini lebih memfokaskan penyusunan semula jentera dan keahlian parti agar UMNO Labuan terus relevan di mata rakyat.
Dalam waktu yang sama, Bashir yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) untuk penggal ke dua pada Isnin depan, turut menyuarakan UMNO akan terus memainkan peranan dalam Muafakat Nasional sebagai wadah perjuangan membina semula rakyat berteraskan kepada kepentingan agama, bangsa dan negara. BDB