CENDERAKENANGAN… Harun (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Megat Zulkarnain disaksikan oleh ahli jawatankuasa Umno Bahagian.- FOTO A.Jalil Madarin.
OLEH : HJ MOHD AMIN HJ MUIN
& A.JALIL MADARIN
KUDAT: Ketua Perhubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menjelaskan bahawa Umno bukan datang ke negeri Sabah sebagai parti Malaya yang menjajah sebaliknya ke hadiran Umno ke negeri dibawah bayu ini adalah atas kehendak orang Sabah sendiri.
Katanya, Umno datang sebagai penyelesaian bilamana Parti Bersatu Sabah (PBS) keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1990 meninggalkan parti USNO dan Berjaya ketika itu.
Katanya, tanggal 8 Febuari 1991 Umno dijemput oleh beberapa orang tokoh politik Sabah seperti Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun, Tun Sakaran Dandai, Tun Musa Aman dan ramai lagi kerana kemelut politik negeri Sabah pada ketika itu bergoncang dan mereka yang disebut sebagai pemimpin USNO datang ke Kuala Lumpur untuk menemui Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berbincang yang mana penyudahnya membawa masuk Umno ke Sabah adalah kehendak orang Sabah sendiri Umno bukan datang sebagai parti Malaya dan penjajah.
Katanya lagi, sepatutnya USNO dan PBS bertanding atas lambang dacing (Barisan Nasional) dalam pilihan raya tahun 1990 pengagihan kerusi telah pun di muktamadkan oleh pucuk pimpinan tertinggi BN akan tetapi PBS telah mengkhianati BN di saat akhir sehari sebelum penamaan calon PBS membuat kejutan dengan mengumumkan parti itu keluar daripada Barisan Nassional.
Tambahnya, atas keikhlasan rakan-rakan seperjuangan dari Sabah yang sudah menyertai Umno sentiasa bermuafakat untuk meneruskan agenda perjuangan Umno membela nasib rakyat Sabah sejak dari dulu lagi sehingga kehari ini.
Justeru katanya Umno meneruskan perjuanganya sehingga tiba masanya pilihan raya umum pada tahun 2018 dimana Umno / Barisan Nasional gagal memperolehi kemenangan majaroti maka seramai 22 orang Ketua-Ketua Umno Bahagian berlompatan kesana sini meninggalkan Umno yang belum diketahui ala tuju sebenarnya.
Zulkarnain menambah, inilah natijah perjuangan dalam Umno apabila 22 orang Ketua Bahagian yang meninggalkan parti keramat ini parti yang pernah memberi mereka muka dan kepercayaan rakyat akar umbi sehingga mereka menjadi terbilang tetapi akhirnya menjadi petualang.
Namun begitu, kata beliau kita ahli Umno termasuk seluruh ahli Umno dalam Bahagian Kudat yang tinggal ini tidak pernah putus asa untuk berjuang walau pun Presiden Umno Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di fitnah di anaiya dan sebagainya sehinggalah beliau di penjarakan dan Najib juga seterusnya menyerahkan jawatan Presiden Umno Malaysia kepada Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meneruskan perjuangannya sebagai Presiden Umno memimpin dan membimbing kita yang tersisa ini.
Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi antara lain berkata demikian di Majlis Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kudat Kali Ke 22 Tahun 2025 di Dewan Hakka dekat sini baru-baru ini.

ABADIKAN KENANGAN… Megat Zulkarnain, Harun dan yang lain mengabadikan gambar kenangan bersama sebahagian daripada 1,560 orang perwakilan yang hadir.
Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Kudat Datuk Harun Durabi berkata, persidangan ini merupakan wadah perjuangan yang perlu di teruskan, di perkasakan untuk mempertahankan kedudukan parti umno di Sabah khas Malaysia amnya.
Katanya, walau pun kita kehilangan Presiden Umno yang kita sayangi namun pengganti beliau juga tidak kurang hebatnya mempertahan martabat Umno di mata dunia.
Katanya, Umno di Sabah ahlinya ada yang terus bertahan dan ada juga yang diganggu gugat dengan tidak memiliki ketabahan lantas menyertai parti lain kononya Umno di Bahagian ini sudah tidak relevan lagi.
Jelasnya, kita tidak memaksa mana-mana ahli yang ingin memilih partinya sendiri namun perlu diingatkan jangan sesekali mengutuk parti Umno tidak bermaruah sedangkan kehebatan mereka satu ketika dahulu adalah berasal dari bimbingan atau tunjuk ajar dari parti Umno malah keistemewaan mereka pun ada yang telah diperolehi dari parti Umno.
Harun yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengkoka menambah, banyak isu yang dimainkan oleh parti luar sana terutama sekali isu “ Sabah for Sabahan” isu MA63 dan banyak lagi sehingga mereka berkata pembangunan di negeri ini agak lembab dan terbantut kononnya tertekan oleh kerajaan Persekutuan wal hal kalau bukan Umno dan Barisan Nasional yang membantu belum tentu ada perubahan terhadap negeri ini yang dulunya tidak ada apa apa yang di banggakan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua ahli Umno dalam Bahagian Kudat ini khasnya agar jangan mudah terpedaya oleh pujuk rayu parti lain yang membawa mereka meninggalkan parti keramatnya ini semata mata ingin mengejar sesuatu yang belum tentu ada ke istemewaannya.
Tambahnya lagi, kita sudah muak dengan kata-kata parti luar sana yang menyatakan kononnya parti merekalah yang membela nasib rakyat Sabah selama ini maka, saya berharap fikirkanlah sebaik baiknya apakah kata-kata mereka itu benar atau satu hasutan pemikiran rakyat negeri ini agar terus membenci parti Umno yang sudah lama berjasa di negeri ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Marudu, Mohd Azrin Abdul Karim wakil Perhubungan Umno Negeri Sabah (pemerhati mesyuarat). Timbalan Ketua Umno Bahagian Kudat, Haji Murtaza Haji Amirdad, Naib Ketua Umno Bahagian Jikol Insang, Setiausaha Umno Bahagian Awang Lahaji Rokimin, Bendahari Umno Bahagian Haji Akram Haji Ismail, Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kudat Normalah Rasik, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kudat merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Sabah Sufian Abdul Karim, Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Kudat merangkap Ketua Penerangan Puteri Umno Negeri Sabah Zairani Awang, Ketua Penerangan Umno Bahagian Kudat Datuk Bolkiah Haji Ismail dan seluruh ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kudat.
Turut bersama Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Selangor merangkap Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selangor Dato’ Wira Abdul Mutalib, Bendahari Perhubungan Selangor merangkap Ketua Umno Bahagian Sepang Norazli, Ketua Umno Bahagian Shah Alam Dato Azahari, Ketua Umno Bahagian Ulu Selangor Dato’ Isah dan Ra’auf Pemangku Ketua Umno Bahagian Kota Raja.