Oleh: Cleo Will
RANAU: Majlis Sambutan Ulang Tahun Pewartaan Taman Kinabalu ke-56 sebagai Taman Negara telah diadakan pada 16 Januari 2020 bertempat di Sub Stesen Mata Air Panas Poring. Majlis telah dirasmikan oleh Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Hj Lakim, yang tiba pada jam 10:40 pagi.
Sambutan pada kali ini sekaligus memperkenalkan tarikan baharu di Poring iaitu Taman Refleksologi (foot massage), yang juga telah dirasmi seterusnya dibuka kepada umum. Lokasi berhampiran dengan mercu tanda Poring memudahkan pelawat singgah sebentar untuk menjalani terapi tapak kaki sebelum melakukan aktiviti lain.
Laluan terapi sepanjang 70 meter itu mengambil masa selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2019 untuk disiapkan, dibawah kendalian Unit Landskap dan Kebersihan.

Ketua unit, Renjer Taman Kanan Palimin Bin Barantis @ Jasli telah memberi taklimat sebagai pengenalan sebelum pelancaran gimik perasmian.
Menurut Palimin, idea awal pembinaan dicadang Penolong Pengurus Taman Maureen Jane Tapuong dan ditambahbaik oleh Pengurus Taman Kanan Yassin Miki.
Laluan foot massage adalah istimewa dari segi reka bentuk laluan berbentuk logo United Nations Educational, Saintific and Cultural Organization (UNESCO) dan menggunakan batu-batu kecil yang diambil dari beberapa batang sungai di sekitar kaki Gunung Kinabalu (Sungai Kipungit, Sungai Langanan, Sungai Nalumad, Sungai Monggis, Sungai Mesilou Kundasang dan Sungai Melangkap Kota Belud).
Seramai 55 orang pelajar dari Sk. Poring, Ranau terlibat dalam Program Pendidikan Alam Sekitar (EE Programme) yang dikendalikan oleh lima orang kakitangan dari Unit interpretatif, diketuai oleh Puan Magrate Minsun.
Para pelajar telah diberi taklimat alam sekitar, seterusnya dibahagikan kepada lima kumpulan untuk aktiviti permainan berkonsepkan alam sekitar.

Sebelum aktiviti EE program selesai pada jam 10:30 pagi, para pelajar berpeluang memberi makan rusa di Taman Tropika.
Sementara, komuniti terlibat pula terdiri daripada pengusaha gerai, orang Kampung Poring dan Kampung Nampasan Baru serta beberapa orang kakitangan telah melaksanakan gotong-royong mengutip sampah di beberapa kawasan dalam dan luar taman.
Pengarah dalam ucapannya telah menyentuh tentang visi iaitu rakyat Sabah hidup harmoni dengan alam semulajadi, dan merujuk Kg Poring sebagai contoh yang terkenal di persada dunia serta menjadi sebahagian kawasan diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.
Penduduk kampung kini mencapai peningkatan ekonomi apabila Taman Taman Sabah memajukan kawasan tersebut sebagai tarikan pelancong sejak 28 tahun yang lalu.

Beliau juga menyeru supaya usaha perjuangan untuk memulihara alam semulajadi diteruskan kerana ianya bukan sahaja menguntungkan semua pihak, malah menjadi model untuk menjadikan kawasan lain seumpamanya di seluruh Sabah.
Majlis juga dihadiri oleh Ketua Kampung Poring, Guru Besar Sk Poring dan dua orang pesara Taman-Taman Sabah bagi menghargai komitmen dan sumbangan mereka sebagai komuniti di sekitar Taman Kinabalu.
Setelah acara memotong kek dan penyampaian cendera kenangan kepada Pengarah dan pesara Taman-Taman Sabah, jamuan makan serta aktiviti cabutan nama bertuah diteruskan sebelum majlis selesai pada jam 1:32 tengah hari. –TAMAT–