30 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 23, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

UKKWA Agih 10,000 Pek Bubur Lambuk


Mustapa (lima dari kiri) menyampaikan bubur lambuk kepada jemaah Masjid Al-Mujahirin. 


KOTA KINABALU: Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah (UKKWA) mengagihkan 10,000 pek bubur lambuk di tiga masjid sekitar Sepanggar sempena Program Ukhuwah MADANI Parlimen Sepanggar, bagi mengimarahkan bulan Ramadan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, selain mengimarahkan Ramadan, program tersebut turut bertujuan menghidupkan peranan masjid sebagai institusi masyarakat yang aktif dengan program kemasyarakatan dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

“Tahniah kepada UKKWA dan rakan strategik serta sukarelawan masjid  kerana telah menjayakan program ini yang merupakan satu inisiatif yang sangat baik dalam kita meningkatkan amalan yang baik dan bermanfaat pada bulan ramadhan yang mulia ini.

“Program ini juga  bertujuan mengimarahkan masjid agar masjid menjadi institusi masyarakat yang dipenuhi dengan program-program kemasyarakatan yang menyumbang semangat bersatu padu antara satu sama lain,” beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan di Masjid Al-Mujahirin, Kg. Warisan, pada Ahad.

Menurut beliau, program seumpama itu wajar diteruskan dengan penglibatan lebih ramai pihak, khususnya golongan belia serta mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Kita mahu mendekatkan golongan mahasiswa dengan masyarakat agar mereka turun padang dan memahami situasi serta keperluan masyarakat di kampung-kampung, sebagai contoh program pada hari ini memasak bubur lambuk yang memerlukan tenaga yang ramai untuk menjayakannya,” jelasnya.

Agihan bubur lambuk itu melibatkan Masjid Al-Hidayah, Kampung Sabang (3,000 pek), Masjid Al-Ikhwan, Taman Kuala Menggatal (4,000 pek) dan Masjid Al-Mujahirin, Kampung Warisan (3,000 pek), yang dilaksanakan dalam tempoh dua hari pada Sabtu dan Ahad.

Program tersebut dianjurkan oleh UKKWA dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat antaranya ASCOT Academy, Pertubuhan SALWA Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), serta para sukarelawan yang terlibat.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah (UKKWA), Datin Rosnih Nasir; Pengerusi Masjid Al-Mujahirin Kampung Warisan, Aliudin Mahdar; Pengerusi SALWA Sabah, Profesor Dr. Arsiah Baharum; Pengerusi Sahabat Penggerak MADANI Sabah, Hasanuddin Guliling; Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia Sabah (WADAH), Abdul Manap Mahmud; YDP ABIM Sabah, Zikri Zainuddin; Pengarah Pemasaran Ascot Academy, Norliza Dugad; Pengarah Parlimen Sepanggar, Ashim Jamat./Penerangan



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN