Dr Jeffrey menerima cenderakenangan yang disampaikan oleh Datuk Abidin Madingkir
RANAU: Perjuangan menuntut hak-hak Sabah tidak pernah terhenti dan kerana itulah hari ini perjuangan menuntut MA63 menjadi perjuangan arus perdana semua pemimpin Sabah di peringkat DUN dan Parlimen.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, perjuangan tersebut belum selesai dan masih ada yang mesti dituntut sepenuhnya.
Walaubagaimanapun, katanya, para pemimpin Sabah perlulah terlebih dahulu bersatu di kalangan mereka, seperti di Sarawak, supaya semua tuntutan dapat diperolehi, dan seterusnya memikirkan perancangan selepas MA63.
“Satu daripada perjuangan yang belum selesai adalah berkaitan hak kewangan kita. Di parlimen saya katakan tentang perihal Sabah telah dijajah selama 55 tahun sebab Persekutuan tidak laksanakan MA63 yang disembunyikan di sebalik ugutan penjara.
“Selepas itu, kita dipinggirkan dari sudut pembangunan apabila hasil Sabah mereka gunakan untuk bangunkan Semenanjung atau Malaya di mana hak 40 peratus yang sepatutnya duit milik kita dikembalikan, sudah lebih 50 tahun tidak dikembalikan.
“Sekarang kita menuntut dan mereka mulai berikan balik kepada kita tapi hasil yang dipungut dari Sabah tidak kurang RM60 billion. Dan 40 peratus daripada jumlah itu selepas ditolak ini itu, sekurang-kurangnya kita mendapat RM20 billion,” katanya.
Justeru beliau menegaskan bahawa Sabah mesti menuntut amaun tersebut kerana ia akan membantu bangunkan negeri ini, memandangkan Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia walaupun hasil negeri yang kaya.
“Tapi kita tidak dapat menuntut ini jika kita berpecah-pecah. Kita kena ambil contoh daripada Sarawak yang setaraf dengan kita tetapi mereka lebih maju untuk mendapatkan hak mereka sebab mereka Bersatu.
“Suara mereka didengari oleh Kuala Lumpur. Tidak seperti kita di Sabah tidak didengari sebab kita berpecah belah dan tidak satu hati. Cubalah jika kita bersatu dalam satu kumpulan, kita akan berjaya,” katanya.
Dr Jeffrey yang juga merupakan MP Keningau dan Adun Tambunan langkah pertama sudah dimulai di mana Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Star sudah mula berunding dan mahu mengelak daripada berlawanan antara satu sama lain seperti sebelum ini.
“Sekarang kita perlu fikirkan untuk Sabah keseluruhan barulah kita boleh bersatu. Kini 80 peratus persetujuan untuk bersatu dengan PBS sudah berjaya, dan kita akan berunding dengan parti-parti yang lain juga bermula dengan kawasan-kawasan KDMR kerana saya percaya mereka juga mahukan untuk bersatu.
“Dan kita mahu semua parti-parti di Sabah Bersatu supaya kita boleh seperti Sarawak mempertahan dan menuntut bukan hanya hak-hak kita tapi kuasa-kuasa kemerdekaan kita yang mana telah hilang.
Dr Jeffrey, Robert, Abidin dan lain-lain melaungkan slogan StarSabah dalam majlis itu
“Inilah yang kita fokuskan selepas MA63 sebab MA63 sudah lebih 60 tahun, dan sekarang kita perlu maju ke hadapan dan bukannya tersangkut dalam MA63 selama-lamanya,” kata beliau.
Dr Jeffrey menambah, hari ini kebanyakan pemimpin politik tersangkut dalam MA63, dan cenderung untuk statik berada di sana, namun semua mesti jalan ke hadapan mengikut lagu kebangsaan yang mengatakan ‘Sabah Negeri Merdeka’.
“Barula kita ada kuasa untuk memungut hasil, membangunkan negara, menjaga kepentingan kita dan janganlah lagi dipergunakan untuk membangunkan negeri-negeri yang lain sedangkan kita memerlukan hasil ini untuk negeri kita.
“Pemimpin kita mesti berani bercakap, berjuang dan berkorban untuk untuk negeri Sabah dan rakyatnya dan bukan untuk diri mereka sendiri tetapi menjadi pejuang tulin untuk negeri Sabah,” sambil menambah beliau sudah habiskan masa 40 tahun untuk berjuang.
Dr Jeffrey berkata demikian semasa Program Jelajah Bersama Presiden StarSabah dengan tema Moving Forward Beyond MA63 yang diadakan bertempat di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Sabtu.
“Kita harap ceramah pada hari ini telah membuka minda dan menaikkan semangat pejuang-pejuang serta penyokong-penyokong kita untuk mempastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih kuat daripada yang sedia ada.
“Hakikat bahawa dewasa ini ramai MP Sabah berbicara tentang MA63 di sidang Parlimen merupakan petanda-petanda yang baik di mana pemimpin-pemimpin kita juga senada dengan saya dalam menuntut hak-hak kita dalam Perlembagaan dalam MA63.
“Dan oleh sebab itu saya mempunyai harapan suara kita akan didengar pada kali ini bukan macam dahulu.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, jelajah kali ini juga diadakan di Ranau menandakan bahawa parti StarSabah akan mengekalkan kerusi DUN Paginatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Manakala berkenaan kerusi-kerusi lain, beliau tidak menolak cadangan bahawa ada penambahan kerusi untuk Parti StarSabah dalam PRN yang akan datang.
“Seperti parti-parti lain, memang kita akan bertanding sebanyak mana kerusi yang kita mampu menang,” jelas beliau.
Turut hadir, Timbalan Presiden Parti StarSabah merangkap Pembantu Menteri Kerjaraya Sabah dan Adun Bingkor Datuk Robert Tawik Nordin, Penyelaras Jelajah Presiden StarSabah Zon Ranau merangkap Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah dan Adun Paginatan Datuk Abidin Madingkir, Naib Presiden Parti StarSabah merangkap Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Adun Liawan Datuk Annuar Ayub, Setiausaha Agung Parti StarSabah merangkap Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah Datuk Edward Linggu, Ketua Wiramuda Parti StarSabah merangkap Pengerusi Ko Nelayan Kong Soon Choi, Adun Inanam Datuk Kenny Chua dan lain-lain.