27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Tun M kecewa Lim Guan Eng tukar fikiran berhubung calon PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa kerana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menukar fikiran untuk mencalonkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk jawatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Guan Eng sendiri yang mencadangkan nama Ketua Menteri Sabah, tetapi berubah fikiran selepas bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau pada asalnya menerima cadangan menamakan Mohd Shafie, kerana namannya sendiri sudah tidak diterima oleh Anwar.

“Jadi dia (Guan Eng) mencadangkan Shafie Apdal untuk menjadi calon dan saya langsung tidak terlibat lagi. Saya terpaksa bersetuju. Malangnya, walaupun cadangan itu datang dari dia sendiri, tetapi bila dia bertemu Anwar, dia tukar cadangan kepada Anwar, bukan lagi Shafie.

“Jadi saya rasa sangat kecewa sebab saya telah bersetuju dengan cadangan asal. Saya tanya mereka berulang kali – betul ke anda mahukan Shafie? – dan mereka kata ya. Tetapi selepas bertemu Anwar, mereka berubah fikiran,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, masalah dengan cadangan Anwar sebagai Perdana Menteri ialah, beberapa ahli Parlimen yang mahu menyertai mereka tidak mahu Ahli Parlimen Port Dickson itu menerajui kerajaan baharu.

Jelasnya lagi, sokongan Ahli Parlimen tambahan sangat kritikal untuk memastikan mereka mempunyai majoriti yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


“Kita sedang mempunyai masalah. Datuk Seri Anwar tidak mahukan saya.

Sementara itu, kami merasakan saya masih mampu menarik sokongan beberapa Ahli Parlimen berbangsa Melayu. Jika kami tidak dapatkan sokongan mereka ini, kita tidak mempunyai bilangan mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan.

“Kita perlukan bilangan Ahli Parlimen lebih dari 111. Kita perlu sekurang-kurangnya 113 atau 114 Ahli Parlimen (dalam Dewan Rakyat),” katanya lagi –The Malaysian Insight

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN