HALIMIN SAPING
KUNDASANG: Pekan Kundasang memerlukan sebuah balai bomba secepat mungkin bagi membolehkan bomba mengambil tindakan segera jika berlaku bencana kebakaran atau sebarang kes kecemasan lain termasuk tiba di lokasi dengan lebih pantas.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Dumpiring Bawah, Kundasang, Halimin Saping (gambar) berkata keperluan membina balai bomba di Kundasang semakin mendesak berikutan jumlah penduduk yang semakin padat selain jumlah rumah dan bangunan lain yang bertambah.
Katanya, kemudahan balai bomba merupakan keperluan yang amat mendesak memandangkan balai bomba yang terdekat dari Pekan Kundasang terdapat di Pekan Ranau iaitu sejauh 15 kilometer dengan masa perjalanan hampir 30 minit.
“Sebelum ini, beberapa kes kebakaran yang berlaku di Kundasang gagal dipadamkan sebelum api merebak selain harta benda tidak sempat diselamatkan disebabkan jarak yang agak jauh.
“Pasukan bomba hanya tiba di tempat kejadian setelah rumah hangus dijilat api kerana terpaksa menunggu hampir setengah jam (30 minit),” katanya kepada media kemarin.

Halimin mengulas kejadian kebakaran yang berlaku di Kundasang sebelum ini dan yang terbaru pada Jumaat lalu yang telah memusnahkan tiga buah rumah serentak di Kampung Dumpiring.
Kebakaran yang berlaku lebih-kurang jam10.40 pagi Jumaat lalu, keseluruhan struktur rumah papan terbabit hangus menyebabkan kesemua mangsa tinggal sehelai sepinggang.
Lebih menyedikan katanya, dua daripada rumah yang terbakar adalah masing-masing dihuni ibu tunggal. Mujur dalam kejadian malang itu tiada kemalangan jiwa serta kecederaan berlaku.
Menurutnya, sebelum ini para pemimpin di Kundasang telah beberapa kali menyuarakan keperluan membina balai bomba di pekan itu, namun sehingga ke hari ini, belum ada tanda-tanda yang positif.
Sehubungan itu, beliau merayu sekali lagi kepada Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yassin, ADUN Kundasang, Datuk Dr.Joachim Gunsalam dan pemimpin lain agar menyuarakan semula keperluan membina balai bomba di Kundasang kepada kerajaan.
