MAYAT lelaki yang dutemui dalam keadaan duduk di sofa rumahnya.
LABUAN: Titisan cecair seperti darah yang mengalir dari siling di tingkat tiga sebuah rumah di Perumahan Taman Mutiara Sungai Bedaun di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dalam keadaan berbau busuk, pada Selasa.
Mayat lelaki itu telah ditemui dalam keadaan duduk di sofa ruang tamu rumahnya yang terletak di tingkat empat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, sejurus pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 3.45 petang, sepasukan polis dan bomba bergegas ke lokasi kejadian.
TITISAN darah yang mengalir yang membawa penemuan mayat tersebut.
“Sebaik tiba ditempat kejadian mendapati pintu pagar besi rumah berkenaan berkunci dan anggota bomba terpaksa memotong pagar besi dan memecahkan pintu sebelum mamasuki rumah berkenaan.
“Pemeriksaan di ruang tamu menemui lelaki terbabit dalam keadaan duduk di sofa dan pegawai perubatan yang turut berada di lokasi membantu menjalankan pemeriksaan” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin
Jelasnya lagi, hasil daripada pemeriksaan itu juga pihaknya telah mendapati mayat telah mengeluarkan cecair yang busuk dan dipercayai telah meninggal dunia antara tiga hingga empat hari sebelum ditemui.
Mohd Ghani berkata, mayat lelaki berketurunan Melayu dan masih bujang itu merupakan penjawat awam yang bertugas sebagai pekerja am di Kompeni Komposit KOR Perkhidmatan Di Raja di sini.
“Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.