ADVERTISEMENTspot_img

Tiga Mahasiswa UMS Raih Empat Pengiktirafan dalam MyNext NPC

Barisan duta MyNext UMS bersama TVET MARA Bintulu membawa nama Borneo Region muncul sebagai naib johan keseluruhan MyNext NPC 2025/2026.

KOTA KINABALU: Tiga mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengharumkan nama universiti dan negeri Sabah apabila mencatat kejayaan cemerlang dalam program MyNext Campus Ambassador 2025/2026 anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA).

Seramai 76 duta dipilih daripada 25 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan TVET MARA di seluruh negara, dengan UMS diwakili oleh tiga mahasiswa yang berjaya meraih empat pengiktirafan utama dalam MyNext National Pulse Challenge (NPC) 2025/2026.

Ketua Jabatan Graduate and Emerging Talent (GET) TalentCorp, Ardi Gunsuh berkata, kejayaan pasukan UMS mencerminkan aspirasi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, bersedia menghadapi keperluan industri serta mempunyai pendedahan kerjaya yang lebih menyeluruh.

“Program MyNext Campus Ambassador merupakan inisiatif nasional TalentCorp yang bertujuan memperkasa kebolehpasaran graduan, memperluas akses kepada peluang kerjaya serta memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri.

“Ia berfungsi sebagai platform kepada mahasiswa untuk membangunkan kepimpinan, memahami ekosistem kerjaya serta memperluas akses kepada peluang latihan industri berstruktur.

“Inisiatif ini selari dengan usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri, agar pembangunan bakat negara lebih responsif terhadap keperluan ekonomi masa hadapan,” katanya.

Dalam Fasa 1 pertandingan, pasukan UMS merekodkan 77 pendaftaran mahasiswa bagi MyNext End-Year Registration Challenge 2025/2026 sekali gus meraih tempat ketiga di peringkat kebangsaan.

Pencapaian tersebut diteruskan dalam MyNext NPC Fasa 4 apabila pasukan UMS bersama TVET MARA Bintulu yang mewakili Borneo Region mencatatkan 333 pendaftaran dan muncul sebagai naib johan keseluruhan menerusi anugerah Best Region Award.

Selain kejayaan berpasukan, wakil UMS turut meraih pengiktirafan individu apabila Nora Abiyana Gabra, pelajar Program Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), menerima anugerah Best Mentor Award.

Sementara itu, pelajar Program Sains Data, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Mohd Asran Lataga juga mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara Ambassador All-Stars Award.

Menurut Asran, kejayaan tersebut membuktikan bahawa mahasiswa Sabah mampu bersaing serta memimpin di peringkat nasional dalam agenda pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.

“MyNext NPC bukan sekadar pertandingan, tetapi turut menjadi platform strategik untuk mengetengahkan kepentingan memperluas peluang latihan industri berbayar dan berstruktur, khususnya di Sabah,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Strategi Kumpulan (GCSO) Talent Corporation Malaysia Berhad, Nazrul Aziz.

-Tamat-

Penerangan gambar:

Gambar 1: MyNext Campus Ambassador Bootcamp 2025/2026 yang menghimpunkan 76 duta dari 25 kampus seluruh Malaysia.

Gambar 2: Barisan duta MyNext UMS bersama TVET MARA Bintulu membawa nama Borneo Region muncul sebagai naib johan keseluruhan MyNext NPC 2025/2026.

Gambar 3: Asran (kiri) menerima hadiah daripada Ardi (Kanan) sebagai Juara Ambassador All-Stars 2025/2026 selepas mengungguli kesemua 75 duta yang lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN