Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, melawat kebun Padas Farmstay sambil mendengar taklimat mengenai penanaman limau kapas daripada pengurus Tham Yau Siong.
TENOM: Tenom mempunyai potensi besar sebagai lokasi tumpuan untuk sektor agropelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung meneroka pertanian sambil melancong di daerah ini pasca Covid-19.
Sebagai contoh, Padas Farmstay telah memfokuskan perniagaan pelancongan melalui pertanian agar kekal lestari walaupun tidak menerima kedatangan pelancong sejak setahun lebih.
Daripada menghentikan pekerja, pengurus Tham Yau Siong telah mengambil inisiatif untuk berkongsi pengalamannya dan memberikan latihan peningkatan kemahiran dalam bidang penanaman kepada staf yang ada.
Terletak di Kampung Paal, Padas Farmstay yang berkeluasan 25 ekar menghasilkan pelbagai jenis tanaman seperti nenas, markisa, serai, ubi kayu, durian, limau, dan yang terbaru adalah kopi.
“Daerah ini sememangnya terkenal dengan nama Kopi Tenom. Namun, kita melihat penanam kopi berkurangan disebabkan pengaruh besar penanaman kelapa sawit.
“Tahun lepas, kita mula mengusahakan penanaman kopi. Kebun kopi ini mampu menambah nilai dan menjadi lokasi destinasi pelancongan yang berkualiti,” kata Tham.
Tambahnya, pelancongan desa berasaskan komuniti di Tenom turut dapat diperkasakan dan kadar kemiskinan dapat dikurangkan jika setiap keluarga mengusahakan kebun kopi kecil serta tanaman lain.
Tham juga berharap lebih ramai masyarakat Tenom membabitkan diri dalam sektor agropelancongan untuk meningkatkan pendapatan mereka dan mewujudkan lebih banyak program pelancongan berasaskan komuniti di daerah ini.
Terangnya, prospek agropelancongan adalah cerah kerana ia mampu meneruskan kelangsungan ekonomi penduduk kampung walaupun industri pelancongan terbantut sementara.
Sepanjang pandemik, Padas Farmstay turut memfokuskan penanaman limau kapas, limau kasturi, dan limau purut untuk menghasilkan produk yang dapat dipasarkan seperti minyak pati, minyak urut, dan minuman.
Sebelum ini, penginapan pelancongan berkonsepkan ladang tersebut menerima ramai pengunjung domestik dan antarabangsa, di mana mereka berpeluang mempelajari penanaman dan penghasilan tanaman tempatan serta mengambil bahagian dalam kerja komuniti.
Pada Rabu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, melawat Padas Farmstay untuk meninjau perkembangan pelancongan dan potensi daerah Tenom sebagai hab agropelancongan di negeri ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, bersama pengurus Padas Farmstay, Tham Yau Siong.
Beliau berkata pencapaian Padas Farmstay boleh menjadi contoh baik kepada pengusaha pelancongan tani yang lain untuk fokus dalam meningkatkan sektor agropelancongan.
“Di peringkat negeri, kita memberikan penekanan terhadap agropelancongan dan kita telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama yang melibatkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar; Kementerian Pertanian dan Perikanan; dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Kita bergabung dalam usaha mengembangkan lagi pelancongan desa dan pelancongan berasaskan pertanian. Tenom mempunyai potensi besar untuk menjadi sektor agropelancongan yang kompetitif dan mampu mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
Semasa lawatan, Joniston turut meninjau pembinaan jalan berturap menuju ke Padas Farmstay.
Padas Farmstay adalah antara lapan pengusaha pelancongan desa di Tenom yang telah memohon geran RM20,000 di bawah Sabah New Deal untuk memperbaiki kemudahan infrastruktur di kawasan pelancongan masing-masing.