CENDERAMATA… Jenddy menerima cenderamata disampaikan oleh Datuk Dr.Pamela, sambil disaksikan yang lain.
KOTA KINABALU: Skor sebanyak 80.24% pada Indeks Kebahagiaan Malaysia 2025 menunjukkan bahawa Sabah merupakan antara negeri yang terendah di Malaysia.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penurunan ini ialah tekanan kewangan isi rumah dan ketidakstabilan sosial.
“Namun begitu, terdapat juga titik cerah — apabila beberapa daerah seperti Telupid berjaya mencapai tahap 100% kebahagiaan melalui kekuatan komuniti dan keharmonian keluarga.
“Ini membuktikan bahawa kebahagiaan tidak hanya bergantung kepada kemajuan material, tetapi juga kepada kekuatan institusi keluarga yang saling menyokong, menyayangi dan memahami,” kata beliau.
Beliau yang diwakili Setiausaha Politik Menteri KPMKR, Jenddy Datuk Sanggau, berkata demikian ketika merasmikan Program “Happy Healthy Family Day 2025” yang diadakan di sini, Sabtu.
Tambah beliau lagi, keluarga adalah asas kepada pembinaan masyarakat dan negara bangsa.

KENANGAN… Jenddy (duduk tengah) merakam gambar bersama Datuk Dr.Pamela, dif-dif jemputan, pelajar dan NGO.
“Di sinilah bermulanya proses pembentukan nilai, sahsiah dan jati diri generasi pewaris masa depan. Apabila institusi keluarga kukuh dan harmoni, masyarakat turut menjadi stabil dan aman.
“Kesihatan keluarga pula adalah tonggak utama kepada kebahagiaan rumah tangga. Apabila ahli keluarga sihat dari segi fizikal dan mental, mereka lebih mudah berinteraksi dengan penuh kasih sayang dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Ibu bapa yang sihat lebih bertenaga mendidik dan membimbing anak-anak, manakala anak-anak yang sihat lebih bersemangat untuk belajar dan bergaul,” katanya.
Justeru, katanya, saringan kesihatan percuma yang dianjurkan hari ini merupakan langkah bijak untuk meningkatkan kesedaran awal serta mencegah penyakit yang boleh menggugat kesejahteraan isi rumah.
James menambah, dalam dunia serba digital hari ini, ilmu keibubapaan menjadi semakin penting. Ibu bapa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu — dari pengaruh media sosial sehinggalah ketagihan skrin dalam kalangan anak-anak.
“Anak-anak kini lebih celik teknologi, tetapi tanpa bimbingan, mereka boleh terdedah kepada kandungan yang mengganggu emosi dan nilai moral.
“Maka, ceramah keibubapaan yang dijalankan hari ini sangat bertepatan dalam memperkasakan ibu bapa agar menjadi pendidik yang peka, prihatin dan celik digital,” katanya.
James merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak penganjur — Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TARUMT) Sabah dan Persekutuan Wanita Cina Sabah.
“Program ini bukan sekadar satu acara komuniti, malah merupakan satu manifestasi kepedulian bersama terhadap pembangunan keluarga dan pendidikan anak-anak, selaras dengan tema yang amat signifikan: Empowering Families, Enriching Education.
“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada pihak penganjur serta 14 agensi kerajaan dan rakan kerjasama — antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, LPPKN, serta NGO dan sektor swasta — atas kerjasama pintar dalam menjayakan program ini.
“Ia mencerminkan semangat MADANI yang mengutamakan keterangkuman dan kesejahteraan bersama. Serta sejajar dengan aspirasi Sabah Maju jaya.
“Membina negara bangsa bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina manusia — dan semuanya bermula dari keluarga,” jelas beliau.
Dalam majlis itu, James turut meluluskan sumbangan RM5,000 untuk menyokong program “Happy Healthy Family Day 2025” .