31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Tanah 10 ekar di Likas sebagai tapak IJN Sabah: James

James Ratib


KOTA KINABALU: Satu bidang tanah seluas 10 ekar di Likas telahpun diwartakan untuk membina Institut Jantung Negara (IJN) Sabah, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.


Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengumumkan bahawa Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) akan diubahsuai menjadi IJN, beliau berkata, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telahpun mewartakan tanah seluas 10 ekar untuk membina institut tersebut.


“Sebenarnya Ketua Menteri Sabah telahpun mewartakan sebidang tanah di Likas khas untuk membina bangunan IJN ini, perkara ini telahpun disuarakan dalam mesyuarat kabinet supaya kita ada sebuah tapak untuk bina IJN, Sabah di Likas.


“Kita tengok kesesuaiannya sebab sebenarnya IJN ini mesti berdekatan dengan hospital, kita ada tanah di belakang QEH2 tapi sekarang tanah ini milik Qhazanah Sabah Bhd.


“Jadi saya difahamkan, sekarang kita sedang berunding dengan Qhazanah untuk pembinaan bangunan tersebut,” tambah beliau lagi.


James yang juga Adun Sugut berkata demikian pada sidang media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah di sini, pada Isnin.


Tambah beliau lagi, Sabah juga memerlukan tambahan doktor pakar untuk memenuhi keperluan di Pusat Jantung Negara yang akan dinaik taraf di QEH2.


Beliau berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pewujudan Pusat Jantung Negara di Sabah adalah berita gembira untuk rakyat Sabah namun tambahan doktor pakar diperlukan untuk pusat ini.


“Perdana Menteri baru-baru ini telah pun memberikan satu berita gembira kepada rakyat Sabah terutama sekali kepada mereka yang mempunyai masalah jantung, dengan adanya Pusat Jantung Sabah yang ditempatkan di QEH2.


“Justeru, pusat ini juga akan menambah pakar-pakar jantung dari Semenanjung untuk berkhidmat di Pusat Jantung ini jadi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban para doktor yang bertugas di pusat bahagian jantung ini,” katanya


James berkata, di Sabah juga ada mempunyai doktor pakar jantung tetapi tidak mencukupi.


“Sebenarnya, kita sudah ada pakar jantung di Sabah ini tapi tidak mencukupi, ketua pakar ada seorang dibantu oleh pakar lain dan boleh dikatakan kita ada cuma lima pakar di sini tetapi pakar yang berlainan, antaranya pakar bius dan dua pakar kanak-kanak dan seorang pakar jantung serta seorang pakar pembedahan,” jelasnya.


Tambah beliau, Pusat Jantung ini juga sekali gus akan meringankan beban rakyat Sabah yang mempunyai masalah jantung kerana tidak perlu lagi dihantar ke Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.


Sebelum ini, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini berkata, Pusat Jantung Negara di Sabah itu bakal menjadi pusat rawatan jantung kedua terbesar di Malaysia selepas Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.


Dalam pengumuman yang sama, Anwar juga berkata bahawa seramai tiga orang pakar dan 120 orang tenaga sokongan terlatih akan ditambah sebagai tambahan kepada tiga doktor pakar dan 120 jururawat terlatih sedia ada di HQE2.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN