Tun Juhar (dua dari kiri) ketika melafazkan tanda pelancaran.
KOTA BELUD : Acara Tamu Besar Kota Belud bukan saja mampu menarik kehadiran pelancong malah turut mengangkat keindahan dan keunikan kepelbagaian budaya tempatan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penganjuran tamu besar secara tahunan itu berperanan besar dalam menarik pelancong selain mempromosikan keindahan budaya tempatan.
“Tamu Kota Belud merupakan salah satu tamu tertua di Sabah yang telah menjangkau lebih daripada 100 tahun usianya.
“Ia bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga tempat pembuatan dan penjualan pelbagai produk tempatan seperti hasil pertanian, makanan tradisi, kraftangan, parang, peralatan muzik, serta busana tradisi.
“Tamu besar ini menjadi lambang perpaduan kerana tamu adalah medan pertemuan sosial rakyat berbilang kaum dan agama seperti masyarakat Bajau, Kadazandusun, Iranun dan cina, yang terus kekal sehingga kini.
“Justeru, kerajaan negeri akan terus menyokong dan membangunkan potensi setiap daerah di Sabah termasuk memajukan sosioekonomi, pelancongan dan kebudayaan masyarakatnya yang unik.
“Saya berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya sempena Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud 2024 yang diadakan di Padang Pekan Kota Belud, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri terus komited untuk memperhebat pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, khususnya dalam memperluas rangkaian promosi pelancongan dan mengembangkan jaringan laluan udara ke negeri ini.
Katanya, langkah ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti Sabah sebagai destinasi yang mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang paling menarik bagi pelancong domestik mahupun antarabangsa.
“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini dari Januari hingga Ogos adalah kira-kira 2.1 juta orang dengan pelancong antarabangsa seramai 867,231 manakala 1.2 juta adalah pelancong domestik.
“Ini menunjukkan potensi besar Sabah sebagai destinasi pelancongan, dan saya yakin dengan perancangan strategik yang telah diatur, jumlah kedatangan pelancong ke Sabah akan terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan.
“Kota Belud adalah antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan, termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya, dan alam semula jadi dengan lebih daripada 30 lokasi pelancongan yang menarik untuk diterokai termasuk di pulau dan sungai,” katanya.
Pelancaran majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang hadir bersama isteri, Toh Puan Norlidah R. M Jasni.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Khairul Firdaus Akbar Khan, Menteri-menteri Kabinet, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.- Penerangan-