Jackson (duduk tengah) diapit oleh Coach Hilary (kedua dari kiri) dan Coach Roney (kedua dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama peserta.
TAMBUNAN: Persatuan Bolasepak Daerah Tambunan (Tambunan FA) akan membuka lebih ramai kemasukan untuk menyertai kursus Kejurulatihan di akar umbi.
Presiden FA Tambunan Jackson Taguah berkata, ia bertujuan memberi peluang agar jurulatih bola sepak di daerah ini menjadi jurulatih yang bertauliah di masa akan datang.
“Ia juga memberikan peluang kepada peserta yang berjaya untuk mendapatkan lesen pengadil bola sepak dan pada masa yang sama membolehkan beberapa kelab bola sepak yang telah ditubuhkan di daerah Tambunan ini akan mempunyai sekurang-kurangnya seorang Jurulatih yang memiliki Sijil kursus kejurulatihan akar umbi” katanya semasa berucap pada majlis penutupan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak anjuran Tambunan FA yang berlangsung di Kompleks Sukan Tambunan baru-baru ini.
Jackson yang juga Ahli Majlis Tertinggi SAFA berkata, ini sangat baik dan penting untuk kelab-kelab bola sepak yang ada di daerah ini agar para pemain dapat berlatih dengan skop latihan yang telah disediakan oleh jurulatih yang telah menjalani kursus kejurulatihan ini.
Selain daripada itu katanya, ianya dapat mencungkil bakat-bakat yang terpendam dikalangan pemain yang berumur 8 hingga 18 tahun dengan cara yang lebih hebat.
Jackson berharap kursus-kursus seperti ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang bukan saja kursus kejurulatihan tetapi kursus pengadil yang lebih bertauliah juga dapat dilaksanakan.
Sementara itu Thomas Anak Ngali yang mewakili semua peserta berkata, kursus ini sangat baik dan sangat penting untuk pembangunan bola sepak di daerah Tambunan atau di seluruh Pedalaman agar sistem pengajaran ataupun sistem latihan sentiasa dikemaskini setiap tahun.
Katanya, kursus ini perlu diteruskan di masa akan datang agar lebih ramai lagi jurulatih yang bertauliah dapat dilahirkan.
Kursus selama tiga hari itu dikendalikan oleh Instructor yang dilantik FAM iaitu Coach Hilary John Baptist dan Coach Roney Asmadul.