PAITAN: Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib menggesa pihak berkenaan agar peka terhadap perubahan taktik penyalahgunaan dadah yang juga berubah mengikut peredaran zaman.
Beliau yang juga Pengerusi Pemadam Negeri Sabah berkata isu dan masalah penagihan dadah di kalangan masyarakat bukanlah perkara baharu dan ianya telah menular dengan pelbagai kecanggihan dalam pembuatan dan pengedaran.
“Dalam zaman yang semakin canggih ini, teknologi pembuatan dadah juga mengalami evolusi sehingga dalam situasi tertentu pengambilan dadah tidak lagi dapat dikesan melalui saringan kesihatan.
“Begitu juga kaedah-kaedah untuk mendapatkan bekalan dadah kini amat mudah dilakukan iaitu hanya dengan sentuhan handphone dan SMS sahaja, maka perkhidmatan bekalan sampai ke tangan pemohon.
“Selain itu, para pusher dan pengedar juga mengambil kesempatan dengan menggunakan “keldai dadah” sebagai kambing hitam untuk mengaut keuntungan,” kata beliau.
James yang juga Adun Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program TABAH dan Program Kempen Sayangi Keluarga Daerah Kecil Paitan bertempat di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan pada hari Khamis.
Program TABAH iaitu ‘Tegas, Amanah, Berani, Adil dan Harmoni’ dan Program Kempen Sayangi Keluarga merupakan anjuran bersama KPMKR dan Biro Hal Ehwal Wanita, PEMADAM Negeri Sabah, dan kerjasama dengan Pejabat Daerah Kecil Paitan.
“Program TABAH merupakan Program Kesedaran dan motivasi kepada komuniti setempat tentang bahaya penyalahgunaan dadah, manakala Program Kempen Sayangi Keluarga merupakan program khusus untuk pendedahan teknik dan kemahiran penjagaan warga emas.
“Pada tahun ini, program ini dimulakan pelaksanaanya di Daerah Kecil Paitan dan akan disusuli ke daerah Ranau, Kunak, Kudat dan Nabawan.
“Tahniah saya ucapkan kepada Jawatankuasa Induk dan Pelaksana atas komitmen dan kerjasama yang padu dalam menjayakan Program pada hari ini,” katanya.
James turut mengucapkan tahniah kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah, UPPM N.48 Sugut dan semua yang terlibat dalam menganjurkan Pertandingan Futsal kepada belia-belia Daerah Kecil Paitan.
Sementara itu, katanya jangka hayat warga emas dijangka bertambah setiap tahun, dan ini adalah kesan langsung daripada kemajuan perubatan, kemudahan bantuan perubatan dan kesedaran penjagaan.
“Walaupun fasiliti kesihatan semakin baik dan segelintir golongan warga emas tidak menghidap penyakit kronik tetapi fizikal mereka yang lemah, ingatan mereka yang semakin pudar serta keadaan sosial mereka yang serba kekurangan menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan keselamatan,” kata beliau.
Tambah James, dengan pelbagai cabaran terutama anak-anak yang masih bekerja serta ragam di kalangan warga emas sendiri, menjadikan penjagaan warga emas sebagai sesuatu yang sukar dan sangat mencabar.
“Justeru itu, penjaga haruslah memiliki kemahiran agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga emas.
“Kemahiran asas penjagaan warga emas menjadi kunci utama untuk menjadi seorang penjaga yang berkualiti.
“Selain itu, persediaan mental dan fizikal adalah satu keperluan yang wajib dititikberatkan oleh penjaga warga emas,” katanya.
James berkata, warga tua atau ibu bapa yang uzur yang tidak mendapat penjagaan ahli keluarga, pastinya akan menjadi isu dan bebanan terhadap komuniti dan kerajaan.
“Oleh itu demi membalas pengorbanan, jasa dan bakti ibu bapa, tanggungjawab ahli keluarga terutama anak-anak adalah komitmen sepanjang hayat,” jelas beliau.