Hamizi menerima secara simbolik perasmiam Solat Jumaat Surau Musolla Ibnu Sina IPD Labuan daripada Hanifuddin sambil diperhatikan Mohd Suhaimi (tiga dari kanan) dan Ismai ( dua dari kiri).
LABUAN: Umat Islam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wilayah Persekutuan Labuan kini tidak perlu lagi pergi lebih jauh untuk menunaikan solat Jumaat apabila surau Musolla Ibnu Sina IPD Labuan telah mendapat kebenaran dan diiktiraf sebagai Surau Jumaat daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkuatkuasa kelmarin (Jumaat).
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hanifuddin Roslan berkata, kelulusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (Khas) Bilangan 1 Tahun 2026 yang bersidang pada 11 dan 13 Februari lalu.
Beliau berkata, institusi surau perlu dimanfaatkan secara menyeluruh oleh pengerusi dan jawatankuasa kariah bagi memastikan fungsinya dapat dizahirkan secara holistik.
Menurutnya, aspek pentadbiran dan pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan secara telus, berhemah serta mencapai hasil yang berkesan.
“Pengurusan surau juga perlu sentiasa merujuk Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam (Jawatankuasa Kariah) 2019 serta garis panduan pengurusan kewangan masjid dan surau bagi memastikan tadbir urus yang teratur,”katanya ketika merasmikan Surau Jumaat Musolla Ibnu Sina IPD Labuan, pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Labuan Superitendan Hamizi Mohd Halim berharap surau tersebut akan terus dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kuliah ilmu, tadarus al-Quran, program kerohanian, serta majlis-majlis ilmu yang mampu menyuburkan lagi nilai-nilai Islam dalam kehidupan kita.
“Mudah-mudahan dengan adanya Surau Jumaat ini, ia dapat menjadi pusat pembangunan spiritual yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga IPD Labuan, malah turut membuka ruang kepada masyarakat sekitar untuk bersama-sama mengimarahkan rumah Allah ini,” katanya.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Mohd Suhaimi Mohd Yusof dan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Kapten Bersekutu (Pertahanan Awam), Ismail Abdullah.



