JUARA… pasukan Sun Wukong bersama hadiah yang dimenangi.
LABUAN: Pasukan Sun Wukong FC muncul juara Kejohanan Futsal Piala Wilayah Persekutuan, peringkat Wilayah Persekutuan Labuan selepas menewaskan Wakanda FC dengan jaringan 4-0 pada perlawanan akhir kejohanan itu.
Pasukan Sun Wukong yang dibarisi beberapa pemain lebih muda dan bertenaga membawa pulang hadiah wang tunai RM1,400, sebuah piala dan medal.
Manakala pasukan Wakanda yang terpaksa berpuas hati untuk bergelar naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM800, sebuah piala dan medal.
Tempat ketiga bersama dimenangi Bank United FC dan Pak Arab FC masing masing membawa pulang hadiah wang tunai RM 400 beserta medal.
Sementara itu, pasukan AMK Inifinity menjuarai kategori wanita selepas membelasah pasukan Axes FC dengan jaringan 7-0 pada perlawanan akhir sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sebuah piala dan medal.

TAHNIAH… pasukan AMK Infinity menerima hadiah daripada Datuk Bashir.
Naib juara Axes Fc meraih hadiah wang tunai RM800. Sebuah piala dan medal.
Tempat ketiga bersama dimenangi Famina FC dan Victo FC masing masing menerima hadiah wang tunai RM400 dan medal.
Kedua dua pasukan Sun Wukong FC dan AMK Infinity akan mewakili Labuan ke peringkat Tiga Wilayah Persekutuan membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selaku tuan rumah yang dijadual berlangsung pada 20 Ogos depan.
Sementara itu, majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias.
Kejohanan Futsal sempena Hari Wilayah Persekutuan peringkat Labuan itu dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Perbadanan Labuan (PL) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan.
Sebanyak 40 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita telah menyertai kejohanan tersebut yang diadakan selama dua hari di gelanggang Futsal Perbadanan Labuan.
Hadir sama menyaksikan kejohanan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, Ketua Polis Labuan, Supt. Ahmad Jawila, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohammad Syahffie Haji Japril, Ketua Pemuda Umno Bahagian Labuan, Musa Basman dan Presiden LAFA, Sophian Said.