26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, November 7, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SUHAIMI NASIR PUTAR BELIT FAKTA, POLITIK PERLU BERASASKAN KEBENARAN

Nizam

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, menolak sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang mendakwa kononnya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, telah menyalahgunakan kuasa dalam isu Sabah Forest Industries (SFI).

Datuk Nizam menyifatkan tuduhan itu sebagai berniat jahat, tidak berasas, serta cuba memesongkan fakta menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kenyataan Datuk Suhaimi bukan sahaja menunjukkan kejahilan terhadap undang-undang, malah jelas merupakan percubaan terdesak untuk menabur fitnah politik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.



Beliau menjelaskan bahawa saman sivil berjumlah RM1.4 bilion yang disebut oleh Suhaimi adalah prosiding sivil yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, bukannya sabitan jenayah seperti yang cuba digambarkan.

Menurutnya, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, telah pun menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah “bukan sahaja remeh dan menyusahkan, malah tidak berasas” kerana ia melibatkan litigasi yang sedang berlangsung antara pihak-pihak berkenaan.

“Kerajaan Negeri akan mengemukakan pembelaan yang menyeluruh dan yakin bahawa kebenaran akan terbukti apabila proses undang-undang selesai,” tegasnya.

Datuk Nizam turut mendedahkan bahawa kemelut sebenar SFI berpunca daripada pentadbiran kerajaan Warisan pada tahun 2018, bukannya kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kegagalan dan kerugian SFI adalah akibat daripada dasar serta keputusan pentadbiran kerajaan sebelum ini. Adalah tidak adil untuk menuding jari kepada kerajaan GRS yang kini berusaha memulihkan semula keyakinan pelabur dan ekonomi negeri,” jelas beliau.



Beliau turut menegaskan bahawa SFI merupakan sebuah syarikat swasta di mana kerajaan negeri hanya memegang dua peratus saham, dan segala urusan pembayaran gaji serta operasi tertakluk kepada undang-undang buruh dan tanggungjawab majikan, bukan kerajaan negeri.

Datuk Nizam menyifatkan kenyataan Suhaimi sebagai percubaan murahan untuk menakut-nakutkan rakyat serta mengalih perhatian daripada kegagalan UMNO dalam menjaga kepentingan rakyat Sabah selama ini.

“Politik fitnah tidak akan membina Sabah. Datuk Seri Hajiji Noor dan pentadbiran GRS kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti dan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.



Beliau yakin rakyat Sabah kini cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini dan siapa yang sekadar menabur dusta demi kepentingan politik peribadi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN