Dari kiri: Terence, Ellshera, Karren
KIULU: Suara akar umbi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Kiulu kini semakin lantang mendesak pucuk pimpinan parti agar tidak lagi meletakkan calon yang dianggap “bermasalah” dan “tidak lagi diterima rakyat” dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.
Menurut pemerhati politik tempatan dan ahli STAR di peringkat akar umbi, Ketua Bahagian STAR Kiulu, Terence Sinti, wajar diberi penghargaan atas usaha beliau menghidupkan semula semangat parti yang suatu ketika dahulu hampir lumpuh di kawasan itu.
Usaha beliau membina semula struktur dan jentera STAR di Kiulu sememangnya berjaya mengembalikan sedikit keyakinan masyarakat terhadap parti tersebut.
Namun, di sebalik pencapaian itu, muncul suara tidak puas hati di peringkat akar umbi yang melihat keperluan untuk STAR menilai semula kepimpinan dan calon yang bakal diketengahkan di Kiulu. 
Mereka mendakwa Terence membawa “bebanan sejarah politik” yang sukar dipadam daripada ingatan pengundi khususnya ahli parti STAR.
“Ramai masih ingat bagaimana beliau meninggalkan STAR untuk menyertai UPKO ketika itu bersama kerajaan WARISAN PLUS, sebelum kembali semula ke STAR apabila parti ini berada dalam kerajaan negeri,” kata seorang pemerhati yang enggan namanya disiarkan.
Tindakan itu, kata mereka, menimbulkan tanda tanya terhadap kesetiaan politik dan kejujuran perjuangan Terence, malah ada ahli yang berpendapat beliau kini menjadi liabiliti politik kepada STAR di Kiulu.
Sementara itu, suara akar umbi juga menolak sebarang usaha membawa masuk “calon luar” seperti Karren Cassandra Ambrose, yang didakwa tidak mempunyai rekod khidmat mahupun penglibatan aktif di kawasan Kiulu. Mereka menegaskan rakyat kini menilai calon berdasarkan keakraban, kehadiran dan rekod perkhidmatan, bukan sekadar nama atau hubungan keluarga.
“Rakyat Kiulu bukan mudah ditipu dengan politik keluarga atau calon terjun. Mereka mahu pemimpin yang mereka kenali, yang hadir bersama rakyat, bukan yang datang hanya apabila tiba musim pilihan raya,” kata seorang ahli STAR cawangan Kiulu.
Sebagai alternatif, kumpulan akar umbi itu mencadangkan pucuk pimpinan parti mempertimbangkan pemimpin tempatan muda yang telah lama setia dan aktif berkhidmat di kawasan itu, antaranya Ellshera A. Yapat, Ketua Wiranita STAR Kiulu merangkap Timbalan Ketua Wiranita Negeri.
Ellshera, yang juga Pengerusi Penaja Persatuan Sahabat Belia Prihatin Kiulu dan Persatuan Sahabat Seni Kreatif Sabah, dilihat sebagai simbol generasi baharu STAR, muda, progresif dan berpaksikan perjuangan rakyat Sabah. Anak jati Kiulu ini turut dikenali ramai dalam kalangan belia dan komuniti tempatan melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan keusahawanan.
“Ellshera memahami denyut nadi rakyat. Dia bukan orang luar, dia anak tanah ini sendiri,” tegas wakil akar umbi itu lagi.
Mereka menegaskan bahawa kemenangan STAR di Kiulu tidak akan bergantung kepada tokoh lama atau calon payung terjun, sebaliknya kepada kepercayaan rakyat terhadap calon tempatan yang benar-benar dekat di hati mereka.
“Rakyat Kiulu mengenali orang mereka sendiri. Kejayaan STAR bergantung kepada kepercayaan rakyat, bukan kepada pengaruh luar,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Dengan mesej yang jelas, akar umbi STAR Kiulu kini memberi isyarat bahawa masa untuk perubahan sudah tiba, dan pucuk pimpinan perlu mendengar denyut nadi rakyat jika mahu memastikan STAR terus relevan dan diterima di kawasan bersejarah itu.



 
                                    