Robert (depan tiga dari kiri)bersama dengan pemimpin dan ahli STARSABAH melaungkan laungan parti.
Oleh: Marutin Ansiung
KENINGAU:Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH)Bahagian Bingkor telah mengambil ketetapan dan sebulat suara memutuskan agar kerusi Parlimen Keningau dipertahankan untuk calon dari parti STARSABAH pada PRU 15 akan datang.
Naib Presiden STARSABAH Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, Bahagian ini menyatakan pendirian dan memuktamadkan calon pilihan terbaik bagi Parlimen Keningau adalah penyandang sekarang ini iaitu Presidennya Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang juga ADUN Tambunan.
Ketetapan ini disuarakan oleh Robert yang juga ADUN Bingkor dalam ucapan dasarnya bagi mewakili suara ahli-ahli parti sempena Mesyuarat Agung Tri Tahunan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH ) Bahagian N.40 Bingkor pada Ahad lepas.
Perasmian mesyuarat agung itu disempurnakan oleh Setiausaha Agung STARSABAH Senator Datuk Guandee Kohoi yang juga Timbalan Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya Malaysia.
“Tidak ada alasan bagi pihak-pihak lain yang kawasan Parlimen Keningau tidak diberikan kepada STARSABAH. Dan saya ulangi calon Parlimen P.180 Keningau ialah dari STARSABAH Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan” tegas Robert.
Pembantu Menteri Kerja Raya itu berkata, sebagai Presiden parti Jeffrey lebih layak dan tepat sekali dipilih untuk mempertahankan kerusi Parlimen Keningau.
“Presiden kita juga adalah Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional(PN) dan juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Dengan peranannya diperingkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sabah memang Presiden kita lebih layak sebagai calon Parlimen P.180 Keningau” jelasnya.