26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Oktober 31, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

STAR Kiulu Nyata Sokongan Penuh Kepada Terence Sinti Sebagai Calon PRN-17

KIULU: Kira-kira 50 ahli Parti Solidariti Tanahairku (STAR) dari Bahagian N.15 Kiulu menghadiri satu mesyuarat dan sidang media hari ini bagi menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Bahagian STAR Kiulu, Terence Sinti, sebagai calon tunggal parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN-17) akan datang.

Kenyataan sokongan itu disampaikan oleh Ketua Wiramuda STAR Kiulu, Jess Joel Moriga mewakili barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), dan ketua-ketua cawangan STAR Kiulu yang turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Dalam kenyataan itu, Wiramuda STAR Kiulu menegaskan bahawa Terence bukan sekadar seorang pemimpin politik, tetapi dianggap sebagai “nadi perjuangan rakyat Kiulu” yang telah lama memperkukuh pengaruh STAR di kawasan berkenaan.

“Beliau merupakan perintis kepada perjuangan STAR di Kiulu dan telah lama turun padang menghulurkan bantuan ketika rakyat memerlukan.

“Usaha beliau menaikkan kembali sokongan akar umbi jelas terbukti melalui peningkatan keahlian dan penyertaan ramai penduduk Kiulu dalam STAR,” menurut kenyataan itu.

STAR Kiulu dalam masa sama menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan oleh pihak luar untuk melobi sebagai calon ‘bidan terjun’ yang hanya muncul menjelang pilihan raya.

“Kami tidak akan menerima mana-mana individu yang datang secara tiba-tiba menunggang nama parti demi kepentingan peribadi.

Jentera Kiulu dibina atas pengorbanan, masa, tenaga dan kesatuan ahli-ahli STAR sendiri,” tegasnya.

Pimpinan bahagian turut mengecam tindakan tidak beretika yang cuba memintas proses dalaman parti atau ‘mencantas ikut pintu belakang’, dengan menyifatkannya sebagai perbuatan keji, terdesak dan mementingkan diri.

“Perbuatan seperti ini mengambil kesempatan atas usaha orang lain dan kami mengecamnya sekeras-kerasnya,” katanya.

Kesemua ahli Jawatankuasa Bahagian, Wiramuda, Wiranita, dan Ketua-Ketua PDM menzahirkan komitmen untuk terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Terence Sinti.
“Kami tidak dipaksa — ini rumah kami, ini maruah kami, dan ini perjuangan kami,” tegas mereka dalam kenyataan bersama itu.

Mesyuarat dan sidang media tersebut turut memperkukuh semangat solidariti antara sayap parti di Kiulu yang berikrar untuk mengekalkan kesatuan dalam menghadapi PRN-17 akan datang.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN