CENDERAHATI… Yahya menyampaikan sijil penghargaan kepada Prof. Dr Rosly.
LABUAN: Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Suria Pembekal Umum Sdn. Bhd telah menganjurkan Bengkel Peningkatan Profesionalisme Guru Fizik yang diadakan di Pusat Makmal Fizik sekolah itu baru-baru ini.
Bengkel sehari itu telah dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Fizik UPSI, Profesor Emeritus Dr Rosly Jaafar.
Menurut Guru Fizik SSN SMK Mutiara, Hisham Abdul Aziz, bengkel tersebut antara lain bertujuan untuk memperkasakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) Fizik di peringkat sekolah yang telah disertai oleh semua guru-guru Fizik.
Bengkel tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan, Yahya Puteh.
Yahya dalam ucapannya mengesa semua peserta bengkel untuk melakukan revolusi nagi mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sains masa kini.
Katanya, penyampaian ilmu Sains akan menjadi lebih menarik jika wujudnya interaksi atau maklum balas yang pelbagai.
“Sewajarnya murid dibenarkan untuk berinteraksi secara optimum dengan persekitaran, guru dan rakan sekelas melalui pelbagai medium yang ada pada masa kini.
“Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) perlu diperkasakan untuk menggalakkan daya cipta murid dan membina keyakinan diri mereka ketika membentang di hadapan kelas” katanya.
Terdahulu Dr Rosli yang sebelum ini pernah memenangi anugerah Malaysia Toray Science Foudation (MTSF) turut memperkenalkan beberapa inovasi yang beliau cipta sendiri untuk memudahkan pemahaman murid terhadap konsep Sains dan Fizik yang kompleks.
Selain itu, beliau turut menggalakkan guru-guru Sains untuk turut merekacipta inovasi baharu demi manfaat murid dan bidang Sains sendiri.
Menurut beliau, strategi PdP dalam kurikulum Sains mengutamakan pembelajaran berfikrah.
“ Pembelajaran berfikrah adalah satu proses pemerolehan dan penguasaan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang dapat mengembangkan minda seseorang murid ke tahap yang optimum serta dapat mencetuskan pelbagai pendekatan pembelajaran seperti inkuiri, konstruktivisme, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran masteri” , katanya.



