30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sokong Ketua Menteri tangani tuntutan 40%: James Ratib

JAMES

KOTA KINABALU: Perdebatan isu tuntutan 40 peratus pemberian geran khas negeri Sabah akan menjadi lebih dramatik dengan pelbagai versi pendapat dari segenap pemimpin politik yang disifatkan membelakangkan kepimpinan utama kerajaan negeri.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, kenyataan pelbagai versi yang dikeluarkan pemimpin tertentu seolah-olah memperlekehkan peranan Ketua Menteri Sabah mengenai isu tersebut.

“Walhal Ketua Menteri Sabah merupakan pemimpin yang lebih awal membawa isu tersebut ke peringkat tertinggi di Persekutuan untuk menuntut hak-hak tersebut.

Beliau menuntut dengan cara lebih harmoni tanpa mengeruhkan suasana dan hubungan baik dengan kerajaan pusat”. Tegasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata, pada dasarnya memang kepimpinan kerajaan negeri bersifat terbuka untuk mendengar mana-mana idea bernas tentang isu berkenaan, namun tidak perlu sehingga ada pihak yang ingin menjadi ‘Hero’ seakan Kerajaan Negeri tidak mempunyai ketua yang sewajarnya memainkan peranan tersebut.

Katanya, perbezaan pendapat akhirnya mewujudkan perang persepsi yang mengeruhkan keadaan dan kelancaran menuntut hak-hak Sabah seperti mana yang termaktub dalam Perkara 112C Dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ada pihak yang tidak sedar Ketua Menteri Sabah sebenarnya berkerja keras dibelakang tabir untuk mempastikan tuntutan hak-hak Sabah terus ditunaikan Persekutuan.

Beliau tidak perlu banyak cakap dalam hal itu kerana apa yang penting bagi beliau, hasil daripada perjuangan itu wajar dikongsi kepada seluruh rakyat negeri ini”. Katanya.

Berhubung tindakan SLS mengheret isu tersebut ke Mahkamah, beliau mengingatkan agar lebih berhemah agar fakta-fakta mereka tidak menjadi bahan pengadilan media sosial yang seterusnya memberi gambaran berbeza-beza pihak berkepentingan.

“Lihat sahaja situasi di mahkamah baru-baru ini, ramai hadir tetapi adakah mereka benar-benar memahami apa isu sebenar yang berlaku dalam prosiding mahkamah itu. Atau mereka hadir disebabkan beberapa Pemain Media Sosial menabur fakta gempak untuk meraih sokongan”. Jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengajak seluruh pemimpin negeri ini agar memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah dalam menuntut hak negeri ini dan mengenepikan ideologi politik bagi menguatkan lagi suara tuntutan.

“Ayuh kita bersama-sama ketua kepimpinan kerajaan negeri Sabah berdiri sebagai tonggak sokongan tanpa memikirkan kita dari parti mana pun”. Katanya.

Isu tuntutan 40 peratus pemberian geran khas Negeri Sabah hangat diperkatakan pelbagai pihak selepas Persatuan Undang-Undang Sabah, Jabatan Peguam Negara dan Kerajaan Sabah selesai memberi penghujahan mereka bagi kes berkenaan di mahkamah Kota Kinabalu Khamis lepas. Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ravinthran N Paramaguru, Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Dato’ Dr Choo Kah Sing menetapkan 24 Mei untuk pengurusan kes berkenaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN