SMK Mutiara teroka projek madu kelulut di sekolah
PENGETUA… SMK Mutiara Mohd Nizam (kanan) menyempurnakan peletakan sarang lebah kelulut pertama dibantu oleh Jumat Latip, pengusaha madu lebah kelulut yang berjaya.
LABUAN: Madu lebah kelulut adalah antara produk pertanian yang mendapat permintaan ramai dewasa ini.
Selain daripada khasiat madunya, pemeliharaan kelulut mampu menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pengusahanya kerana harganya yang mahal.
Menyedari hal ini, SMK Mutiara mengorak langkah memulakan projek pemeliharaan lebah kelulut di kawasan sekolah dengan tiga sarang permulaan.
Sarang-sarang diperolehi daripada tanah besar Sabah dengan bantuan seorang pengusaha lebah kelulut yang telah berjaya, Jumat Latip yang juga merupakan seorang pesara guru.
Menurut Jumat, pemeliharaan lebah kelulut memerlukan usaha dan kos yang sangat minima kerana kelulut tidak perlu diberi makan seperti peliharaan yang lain.
Lebah kelulut akan terbang dalam lingkungan 2 kilometer dari sarangnya untuk mengutip madu daripada pokok-pokok yang berbunga.
GOTONG ROYONG… Guru-guru bergotong-royong menyiapkan projek madu kelulut di kawasan SMK Mutiara.
“Lebah kelulut ini dari jenis trigona itama mempunyai jangka hayat selama 21 hari untuk hidup. Lebah ini akan terbang untuk mengumpul madu dan kembali semula ke sarang setiap hari sebelum mati. Lebah kelulut yang baharu akan dihasilkan oleh permaisuri di dalam sarang tersebut,”katanya lagi.
Idea untuk memelihara lebah kelulut terhasil apabila Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam Yasim melihat banyak pokok-pokok yang berbunga yang ditanam dalam kawasan sekolah.
Selain itu, projek ini mampu memberi satu bentuk pendidikan keusahawanan kepada guru dan murid sekolah ini selaras dengan hasrat Kemahiran Melalui Rekabentuk (KMR) dalam program Transformasi Sekolah (TS25).
“Pihak sekolah telah membuka peluang pelaburan kepada guru-guru SMK Mutiara yang ingin mencuba memelihara kelulut. Kita menawarkan harga setiap sarang sebanyak RM280 dan setakat ini ketiga-tiga sarang yang ditempah telah dibeli oleh 3 orang guru SMK Mutiara,”tambah beliau lagi.
Salah seorang pelabur dalam pembelian sarang kelulut ini, Ustazah Siti Sarah berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam mengendalikan pemiliharaan kelulut tetapi sangat berminat dengan keistimewaan dan kelazatan madunya.
Selain itu, Cikgu Nurul Hidayah dan Cikgu Nurul Shazwani juga tidak mahu ketinggalan membuat pelaburan ke atas sarang-sarang kelulut.
Mereka turut berharap agar kelulut ini akan dapat mengeluarkan hasil terbaik suatu masa nanti untuk dinikmati bersama.
Pengarah projek, Ramlan Matusin berkata beliau dan rakan-rakan telah membantu membuat pemilihan lokasi-lokasi yang sesuai untuk peletakan sarang-sarang induk kelulut.
Selain aspek keselamatan, aspek-aspek cuaca dan sumber makanan turut dipertimbangkan.
“Kami berusaha untuk menjadikan projek ini sebagai projek permulaan yang berjaya. Jika berjaya kami akan menyarankan agar lebih banyak sarang akan ditempatkan di kawasan sekolah. Warga sekolah tidak perlu risau kerana kelulut adalah sejenis lebah yang tidak berbisa dan tidak menyengat sesuka hati,”ujarnya lagi.
Peletakan sarang-sarang lebah kelulut telah disempurnakan oleh ketiga-tiga guru berkenaan tepat jam 7.55 malam kelmarin.
Acara bersejarah ini turut disaksikan oleh Mohd Nizam Yasim, Ustaz Mohd Farihi Ab. Halim, Roslan Ajak, Aspan Ngadi dan Samad Tokiran. –https://borneodailybulletin.com/