SIJIL….Yahya menyampaikan sijil penghargaan kepada panel jemputan, Noraini Osman, Penolong Pegawai Pembangunan Kebajikan Masyarakat LPPKN Labuan di atas kesudian berkongsi ilmu yang sangat berguna kepada warga SMK Mutiara
LABUAN: Dalam usaha pihak sekolah membudayakan amalan digital sebagai medium utama dalam proses penyampaian maklumat kepada warga sekolah khususnya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) SMK Mutiara menganjurkan sebuah program berbentuk rakaman temubual yang bertemakan pembangunan dan perkembangan sahsiah murid.
Bual bicara kali ini yang mengangkat tema sahsiah remaja masa kini iaitu Cabaran Pergaulan dan Sahsiah Murid ini dipilih sebagai salah satu usaha warga SMK Mutiara dalam proses mendidik murid-murid di sekolah ini agar sentiasa mengamalkan gaya pergaulan yang sihat serta sentiasa membataskan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada aspek rohani dan jati diri remaja.
Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara, Ahmad Radzi Ab Halim (gambar) dan Maisaraf Abdul Rashid, program pembudayaan digital seperti ini mendapat sokongan dan perhatian yang sangat baik daripada Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Masri Ayong dalam usaha meningkatkan perkhidmatan Unit Bimbingan dan Kaunseling di samping kemudahan Studio SMK Mutiara yang mempunyai kemudahan asas bagi proses rakaman dan perlaksanaan program ini.
Yahya berkata secara tidak langsung melalui rakaman program temubual ini pihak sekolah dapat terus membudayakan pengintegrasian dan penggunaannya secara optimum dalam kalangan warga sekolah.
Katanya, penggunaan teknologi mesti digabungjalin bersama dalam aspek kehidupan dan seterusnya mampu memenuhi tuntutan masyarakat memandangkan pengaruhnya dijangkakan akan membawa impak yang lebih besar dan bermakna dalam dunia pendigitalan masa kini.
Program yang dilaksanakan secara rakaman ini bertujuan bagi menyebarkan pengetahuan kepada murid mengenai cabaran sebenar realiti yang perlu dihadapi oleh mereka jika aspek pergaulan serta nilai akhlak diri dan sahsiah ini dipandang ringan yang pastinya akan memberikan impak yang besar di sepanjang kehidupan mereka kelak.
Program temubual yang dilaksanakan secara santai namun penuh informasi ini telah dihadiri oleh seorang panel yang berpengalaman iaitu Noraini Osman, Penolong Pegawai Pembangunan Kebajikan Masyarakat Lembaga Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Wilayah Persekutuan Labuan untuk memberikan kupasan dan pandangan berkaitan dengan isu sosial yang agak penting ini.
Ahmad Radzi Ab Halim pula selaku Kaunselor SMK Mutiara telah bertindak sebagai moderator dengan kerjasama Unit ICT SMK Mutiara yang dilaksanakan secara rakaman di Makmal Komputer Bestari SMK Mutiara.

PROGRAM…. Bual bicara ini boleh ditonton di YouTube Channel Unit ICT SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://youtu.be/tPhiZNMDsD4
Rakaman program ini akan dipanjangkan ke semua saluran media sosial SMK Mutiara yang melibatkan ibu bapa dan murid SMK Mutiara agar info yang disampaikan di sepanjang perbincangan ini dapat dihayati dan dijadikan peringatan kepada semua agar sentiasa berhati-hati di dalam kehidupan.
Golongan remaja dan murid adalah aset dan cerminan imej masa depan sesebuah negara kerana merekalah yang bakal memainkan peranan dalam mencorakkan masa depan politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara kita pada masa akan datang.
Antara cabaran yang menjadi batu penghalang utama kepada pembangunan remaja alaf ini adalah pengaruh yang berleluasa tanpa kawalan dan sempadan.
Perkongsian tentang bual bicara ini boleh ditonton di YouTube Channel Unit ICT SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://youtu.be/tPhiZNMDsD4