Hajiji (kiri) bersama Anwar melambai kepada orang ramai ketika beredar meninggalkan SICC.
KOTA KINABALU: Dasar pembangunan Sabah akan dipacu melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 mulai tahun hadapan, merangkumi pelbagai fokus strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pelan berkenaan turut merangkumi penubuhan tiga taman perindustrian baharu, iaitu Taman Perindustrian Industri Ekonomi Biru di Kudat; Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Beaufort; serta Taman Perindustrian Teknologi Tinggi dan Semikonduktor yang bakal dibangunkan antara Kota Belud dan Kota Marudu.
“Pembangunan itu bertujuan menampung minat pelabur yang semakin meningkat, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Madani yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Sabtu.
Hajiji turut mengumumkan penambahbaikan program kebajikan sosial termasuk pembinaan 50 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini bagi membantu golongan miskin dan miskin tegar, selain bantuan kewangan bulanan RM300 kepada 100,000 penerima bermula tahun depan.
“Bantuan kewangan baharu untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas tanpa pendapatan tetap serta insentif pembiayaan deposit rumah pertama juga akan diperkenalkan,” ujarnya.
Mengulas pemuktamadan obligasi Kerajaan Persekutuan dalam pembayaran hak hasil 40 peratus kepada Sabah, beliau berkata perkara itu dijangka dimeterai tidak lama lagi susulan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, hubungan rapat dan kukuh antara kedua-dua kerajaan penting bagi memastikan kemajuan berterusan termasuk dalam aspek kedaulatan, keselamatan, perpaduan dan kenegaraan.
“Walaupun kita memperjuangkan hak-hak Sabah, kita tidak boleh lupa tanggungjawab menjaga kepentingan negara.
“Matlamat utama kita adalah memacu kemajuan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui perancangan yang memberi kesan langsung atau tidak langsung terhadap ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya.
Hajiji turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus mengangkat martabat Sabah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan menggandakan usaha menaik taraf infrastruktur asas, termasuk peruntukan lebih RM1.2 bilion bagi projek bekalan air yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula pertengahan tahun depan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peruntukan RM765 juta bagi menyiapkan Projek Sabah Southern Link yang bakal menghubungkan grid elektrik Pantai Barat dan Pantai Timur sekali gus mengatasi gangguan bekalan di kawasan terjejas./Penerangan



