Ewon menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Medic Pets International Sdn Bhd, peserta Program Eksport Perniagaan (BEP)SME Bank, dan Daukey Kokpar Clubdari Kazakhstan untuk memudahkan pendaftaran produk di Kazakhstan.
KUALA LUMPUR: Program SME Bank XCESS 2025 membuka peluang luas kepada usahawan Bumiputera dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa melalui padanan perniagaan serta rangkaian hubungan strategik bersama pemain industri global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata kementeriannya komited membantu PMKS memanfaatkan peluang eksport melalui pelbagai inisiatif sokongan.
“Sebagai salah satu kementerian di bawah Kerajaan MADANI, kami menaruh harapan agar lebih banyak PMKS menggunakan platform seperti SME Bank XCESS 2025 dan program sokongan eksport yang sedia ada.
“Dengan sokongan kewangan, kerjasama strategik dan peningkatan kapasiti, kita yakin usahawan tempatan mampu mencipta impak lebih besar bukan sahaja untuk keuntungan mereka, tetapi juga kepada kecemerlangan ekonomi Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis peluncuran SME Bank XCESS 2025 melibatkan penyertaan lebih 500 syarikat PMKS tempatan serta 20 syarikat pembeli dari luar negara, di sini, hari ini.
Ewon berkata, Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan dan pertumbuhan mantap dengan sektor PMKS berkembang pada kadar 5.8 peratus pada tahun 2024, menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, KUSKOP turut melaksanakan pelbagai inisiatif khusus bagi membantu PMKS menembusi pasaran eksport, antaranya Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB), Program Rantaian Glokal (GLoSMEP), Business Exports Programme (BEP) dan Program Jaguh Serantau.
Setakat ini, katanya, program BEP yang dibiayai KUSKOP dengan peruntukan RM21.5 juta berjaya melengkapkan 98 PMKS berprestasi tinggi dengan latihan berstruktur serta strategi penembusan pasaran sejak tahun 2020.
“Keseluruhannya, program lima fasa itu menjana nilai jualan eksport berjumlah RM419 juta merentasi pasaran Asia Tenggara, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Program Jaguh Serantau pula telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM173.24 juta kepada 19 syarikat sehingga Oktober 2024, khusus bagi memperkukuh keupayaan PMKS Bumiputera menembusi pasaran serantau,” katanya.
Selain itu, KUSKOP menerusi agensi seperti TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut menyalurkan lebih RM9.6 bilion dalam bentuk pembiayaan dan geran kepada lebih 300,000 usahawan di seluruh negara sepanjang 2024.
“Di bawah Program GEB yang dikendalikan SME Corp, sehingga Oktober 2024, seramai 247 PMKS mendapat manfaat termasuk 10 usahawan yang menerima geran bernilai RM1.51 juta, manakala 237 usahawan lain mengikuti latihan berkaitan eksport.
“Program GLoSMEP pula menyaksikan 260 PMKS tempatan menyertai 373 sesi pemadanan perniagaan dengan syarikat anchor, sekali gus membuka peluang potensi jualan mencecah RM42.5 juta,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SME Bank Dato’ Muslim Hussain, serta Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan SME Bank, Samad Majid Zain Abdul Majid.