Datuk Abdul Ghani (duduk tengah) dan lain-lain, termasuk peserta kursus memberikan tanda bagus untuk program tersebut
KUNDASANG: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) telah memperluaskan lagi usaha membantu meningkatkan peluang sosio-ekonomi penduduk luar bandar melalui agro-hidroponik.
Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata seramai 30 belia meliputi kawasan luar bandar dari Tenom, Keningau dan Nabawan termasuk Kota Marudu dipilih dalam Program PERINTIS PERTANIAN HIDROPONIK PRO-APP pertama di Sabah.
“Program ini mengangkat masyarakat untuk berdaya saing atau berusaha meningkatkan sosio-ekonomi mereka. Jadi hari ini, pelancaran kursus pertama di Sabah, melibatkan kursus khas untuk peserta kita di wilayah Pantai Barat.
“Kita harap inisiatif sebegini tidak berakhir di sini sahaja, sebaliknya kita sudah pun merancang dan melihat penganjuran untuk fasa kedua yang akan diadakan di wilayah Pantai Timur,” katanya.
Abdul Ghani yang juga Adun Nabawan berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis pelancaran Program PERINTIS PERTANIAN HIDROPONIK PRO-APP SLDB dengan kerjasama Aquafarm di Mesilau pada Khamis.
Menurutnya, bidang penanaman hidroponik dipilih kerana ia merupakan aktiviti berpusatkan tanaman organik yang mempunyai manfaat kesihatan yang kaya dan dipercayai mempunyai permintaan yang sangat tinggi di pasaran.
Jelas Abdul Ghani, setiap peserta juga akan dibekalkan pelbagai peralatan berkaitan tanaman hidroponik bernilai RM25,000 selepas tamat kursus yang berlangsung selama sebulan.
Sementara itu, Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari berkata, sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan oleh SLDB untuk menjalankan program ini secara berperingkat.
“Program PRO-APP HIDROPONIK AGRI-PIONEER SLDB adalah yang pertama seumpamanya diadakan oleh SLDB. Kita memperuntukkan sejumlah RM1 juta kepada 25 hingga 30 pelatih dengan harapan dapat terus meningkatkan taraf hidup ekonomi masyarakat luar bandar.
“Selepas kursus, peserta yang layak akan diberikan peralatan hidroponik bernilai kira-kira RM25,000. Dengan jumlah ini kita harap mereka dapat terus mencapai cita-cita sebagai pemain dalam industri pertanian hidroponik,” katanya.
Sementara itu, semua peserta teruja untuk menyertai program ini kerana pelbagai ilmu baru mengenai tanaman hidroponik diperoleh selain pengalaman berinteraksi dengan tenaga pengajar dan rakan-rakan lain.
Salah seorang peserta kursus, Hendrysonroy@Muhammad Irfan Abdullah berkata, sebelum ini dia pernah mencuba membaja pokok cili tetapi tidak menjadi kerana jika dilihat nampak mudah dengan teknologi yang ada tetapi sebenarnya ia tidak semudah itu.
“Sebab itu saya berbesar hati untuk mengikuti kursus ini kerana kita memerlukan pengetahuan yang diperlukan untuk bidang ini supaya kita boleh beroperasi menggunakan teknik sebenar untuk berjaya,” katanya.
Seorang lagi peserta kursus, Agnasiah Egohalik berkata, sekiranya program sebegitu tidak diadakan, dia dan rakan-rakan peserta kursus mungkin masih berada di kampung dan masih tiada sebarang kemajuan yang dicapai dalam semua ini.
“Sebab itu kami amat berterima kasih terutama kepada SLDB kerana memberi peluang kepada kami untuk berjaya. Kami semua menerima bahawa ini adalah titik yang akan mengubah kehidupan kami ke arah yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.