Pengurus Besar SLDB, Tuan Syaheddrul R Joddari (kiri)dan Ketua Pegawai Eksekutif DFSB, Datuk Dr Muhammad Fairus Hussain (kanan)masing-masing menandatangani dokumen MoU.
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Diversatech Fertilizer Sdn Bhd
(DFSB) untuk pembinaan kilang baja-nano (Nanofertilizer) berteknologi tinggi yang seumpamanya di Malaysia.
Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman itu telah disempurnakan oleh Pengurus Besar SLDB, Tuan Syaheddrul R Joddari dan Ketua Pegawai Eksekutif DFSB, Datuk Dr Muhammad Fairus Hussain yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Bin Radin dan Pengerusi SLDB, Datuk
Abd Ghani Mohd Yassin di salah sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.
Menurut Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari, MoU ini merupakan salah satu perancangan Pelan Strategik Lembaga 2022-2026 untuk memastikan Lembaga terus kekal relevan dan berdayasaing dalam
memastikan objektif membangunkan masyarakat luar bandar Sabah berasaskan pertanian dapat terus diperjuangkan melalui pembelian input pertanian seperti baja tanaman dapat
diperolehi dengan harga yang berpatutan.
Di samping itu katanya, ianya juga membuka ruang bagi Lembaga untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaannya melalui penjualan baja tanaman
kepada ladang-ladang dan petani-petani di negeri Sabah serta pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Filipina.
”Kewujudan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan
Sabah juga merupakan faedah yang akan dikecapi semasa pelaksanaan kilang baja ini” katanya.
Tambahnya, pembinaan kilang baja ini sejajar dengan saranan Kerajaan Negeri melalui halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga merupakan salah satu persediaan awal SLDB untuk menjadi agensi “Food Security” di Sabah.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif DFSBDatuk Dr Muhammad Fairus Hussain menyatakan, berdasarkan MoU, DFSB akan melaksanakan pembangunan kilang baja-nano ini secara bersama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) di atas tanah milik Lembaga seluas 10 ekar di Silabukan, Lahad Datu, Sabah.
Beliau berkata, hubungan kerjasama yang erat ini dimulai dengan usahasama dalam bidang penyelidikan mengkaji keberkesanan produk baja premium ke atas tanaman sawit yang menggunakan Teknologi Nano keluaran Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) telah menunjukkan peningkatan hasil yang lebih tinggi berbanding amalan biasa.
Selain itu katanya, baja teknologi nano ini juga di aplikasi hanya dua kali setahun serta efektif dalam mengurangkan serangan penyakit Ganoderma pada tanaman sawit muda.
Susulan daripada perkara berkenaan, pihak Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dan Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) telah mendapat persetujuan usahasama untuk membangunkan kilang baja yang menggunakan Teknologi Nano ini untuk dijadikan sebagai Projek Perintis dan hub pertanian dalam memasarkan produk baja ini ke seluruh kepulauan
Borneo seperti negeri Sabah, Sarawak dan eksport ke luar negara antaranya Indonesia, Brunei dan Filipina.
Bagi mencapai sasaran sekuriti makanan negara, di mana rakyat dapat mengakses makanan secara fizikal dan ekonomi serta mencukupi bagi kehidupan yang sihat dan mampan.
Untuk tujuan ini, Sabah harus melangkah ke hadapan dengan mempunyai kilang baja yang moden dan dinamik bagi memenuhi keperluan baja bagi projek tanaman sawit, padi, getah, buah-
buahan dan sayur-sayuran agar dapat terus memberikan hasil yang tinggi dan berkualiti bagi kegunaan dalam negeri dan eksport.
Mengenai Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB), Kumpulan Diversatech telah ditubuhkan pada 9 Disember 1998, memberi tumpuan kepada pengeluaran dan pembangunan baja teknologi tinggi untuk tanaman tropika.
Dalam lebih daripada dua dekad perjalanan, ia telah menetapkan standard baru pencapaian korporat
dengan mengeluarkan produk baja berkualiti yang konsisten dan boleh dipercayai.
Diversatech Fertilizer juga berkongsi kepakarannya mengenai cadangan baja berdasarkan analisis tanah dan daun. Pengetahuan yang luas dan semangat kakitangan saintifik, ditambah
dengan pendekatan inovatif R&D, syarikat mampu memenuhi aspirasi pekebun, estet dan industri pertanian negara.
Sementara itu Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) yang lebih dikenali dengan SLDB telah ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai sebuah agensi Badan Berkanun Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menempatkan rakyat tempatan yang tidak bertanah melalui program-program pembangunan tanah berskala besar.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1969
sehingga kini, LKTNS telah membangunkan tanah seluas 30,000 hektar, mempunyai seramai
7000 orang peneroka dan peserta perladangan sawit.
Disamping itu, LKTNS juga memiliki 2
buah kilang pemprosessan minyak sawit di Keningau, Sabah dan kilang penapis minyak sawit (refinery) iaitu lahad Datu Edible Oils (LDEO) Sdn Bhd yang diadakan secara usahasama
dengan rakan niaga.
Terkini LKTNS telah mengembangkan aktiviti perniagaannya berasaskan makanan seperti bekalan beras dan minyak masak bersubsidi, tanaman nanas, halia, lada hitam serta durian musang king, pemeliharaan lembu tenusu dan aktiviti ekonomi tambahan (AET) melibatkan peneroka dan peserta LKTNS di seluruh Sabah.
Pada masa yang sama, sebagai salah satu agensi rangkaian Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan, LKTNS giat membangunkan prasarana, infrastruktur dan ameniti sosial masyarakat luar bandar bagi tujuan pembasmian kemiskinan.