Para pemenang pertandingan bergambar kenangan bersama Guru Besar SJK(C) Phui Ying Tenom, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Naib Yang Dipertua PIBG, penyelaras program, wakil HOKO Malaysia serta ibu bapa selepas majlis penyampaian hadiah.
TENOM: SJK(C) Phui Ying Tenom menganjurkan Pertandingan Mewarna HOKO bersempena Program Penerapan Nilai Perpaduan 2026 bagi menyemai semangat perpaduan, patriotisme serta mengukuhkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Program bertemakan “Malaysia MADANI: Bersatu Hati, Membina Generasi Harmoni” yang diadakan pada 16 Julai lalu itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan murid bersama ibu bapa dalam suasana penuh ceria dan harmoni.
Selain pertandingan mewarna, para peserta dan pengunjung turut menikmati minuman HOKO yang ditaja oleh Teck Guan Trading Sdn. Bhd., sekali gus memeriahkan program berkenaan.
Sesi pertukaran cenderamata antara Guru Besar SJK(C) Phui Ying Tenom dengan wakil Teck Guan Trading Sdn. Bhd. sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang terjalin.

Sesi pertukaran cenderamata antara Guru Besar SJK(C) Phui Ying Tenom dengan wakil Teck Guan Trading Sdn. Bhd. sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang terjalin.Â
Majlis itu turut dihadiri Pegawai School Improvement Partners Plus (SIP+) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tenom, Mail Suanda, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tenom, Sektor Pengurusan Sekolah, Azizul Hakim Yacob, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Lo Chau Fook, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Liu Kon Fong serta Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jalina Dinis.
Guru Besar SJK(C) Phui Ying Tenom, Poong Chiew Fong berkata pendidikan bukan sahaja berlaku di dalam bilik darjah, malah memerlukan kerjasama erat antara sekolah, keluarga dan masyarakat.
Beliau berkata, walaupun dianjurkan dalam skala sederhana, program itu berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan melalui aktiviti kekeluargaan, di samping menerapkan nilai hormat-menghormati, kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan murid.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, malah memperkukuh jalinan kerjasama antara sekolah dengan komuniti dalam melahirkan generasi yang bersatu padu,” katanya.

Semua tetamu jemputan, ibu bapa, guru dan murid bergambar beramai-ramai sebagai kenangan selepas Program Penerapan Nilai Perpaduan 2026.
Poong turut merakamkan penghargaan kepada Teck Guan Trading Sdn. Bhd. menerusi jenama HOKO atas sumbangan 18 hadiah pertandingan serta tajaan minuman percuma kepada semua peserta dan pengunjung.
Menurut beliau, sokongan sektor korporat itu mencerminkan komitmen terhadap pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyokong pembangunan pendidikan serta kesejahteraan komuniti.
Beliau berharap lebih banyak program berimpak tinggi dapat dianjurkan pada masa depan bagi memperkukuh nilai murni, semangat patriotisme dan kerjasama antara sekolah, ibu bapa serta masyarakat.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi kategori prasekolah, Tahap 1 dan Tahap 2 sebagai penghargaan atas pencapaian mereka dalam pertandingan berkenaan.



