26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Sigar Mampu Jana Pendapatan, Madius

Madius turut menunjukkan bakat dalam membuat sigar.

KIULU – Kelestarian budaya boleh menjadi pemangkin dalam usaha menjana pendapatan rakyat. Timbalan Ketua Menteri sementara Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, bagi meningkatkan sumber ekonomi fokus harus diberikan dalam penghasilan produk.

“Kerajaan negeri melihat potensi besar dalam industri pembuatan. Negeri kita yang kaya dengan budaya dan sumber hasil mampu menjana pendapatan rakyat setempat dengan kemampuan kita dalam menghasilkan sesuatu produk,” katanya.

Madius berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Program Khidmat Masyarakat Kursus Membuat Sigar di Kampung Rangalau Lama, di sini, satu program khidmat masyarakat anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI) Perak pada Ahad. 

Madius turut berkata kerajaan negeri melihat usaha ini secara menyeluruh dan berterusan bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri tidak mahu sumber hasil negeri dijual tanpa diproses. Contohnya seperti kayu balak, kita telah hentikan penjualan secara terus dimana langkah ini membolehkan kita memproses kayu balak dan sekaligus kilang-kilang dan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah dapat diwujudkan.

“Kita semua tahu ramai belia Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung untuk bekerja. Oleh itu, inisiatif ini amat penting bagi kita menggalakkan golongan muda dalam industri pembuatan dan pemprosesan bukan setakat hasil kraftangan sahaja malahan untuk industri pertanian, perikanan, petroleum dan sebagainya, “katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri begitu komited mengadakan pelbagai program khusus untuk pembangunan rakyat Sabah secara menyeluruh untuk semua.

“Kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dari segi latihan, cara pemprosesan dan pemasaran. Sebagai contoh liposuk yang dibuat sambal, kita telah menyediakan pasaran yang khusus dan menjual di pasaraya seperti di Bataras.

Aisar (kiri) Airre (kanan)

“Kita sedar dan faham situasi rakyat terutama dalam keadaan kita berdepan dengan masalah pandemik yang menyebabkan kekangan dari segi pasaran. Ini adalah usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri bagi memastikan rakyat boleh berdiri di kaki sendiri bagi mencari pendapatan buat diri dan keluarga masing-masing, “katanya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata inovasi dalam setiap penghasilan amat penting selain memaksimum dan mempelbagaikan penghasilan produk daripada sumber asli dan budaya.

Ini merupakan kali ketiga beliau melancarkan program khidmat masyarakat yang memartabatkan budaya, tradisi dan etnik Momogun. Melalui tiga program ini, seramai hampir 800 penduduk kampung di Puhas, Kampung Tiong Gonodohon dan Kampung Rangalau Lama telah berhasil mendapat ilmu pembuatan sigar.

Manakala buat dua sekawan Mohd Aisar Lusrey,12, dan Airre Amat,13, tidak menyangka bahawa kursus membuat sigar ini boleh memberikan keseronokan buat mereka berdua.

“Saya sudah beberapa kali ikut kursus ini dan saya tidak sangka akan berminat untuk belajar cara menjahit yang betul untuk sigar ini,” kata Airre.

Pada mulanya, Aisar hanya mengikuti kursus membuat sigar atas ajakan daripada kawan-kawannya.

“Saya ikut sebab suka-suka. Tetapi setelah belajar saya rasa ingin lebih tahu banyak mengenai sigar,” katanya.

Sigar asal yang diperbuat daripada kain tenunan berharga lebih RM600 setiap satu manakala, yang diperbuat daripada kain sarung bermotifkan corak Borneo, peralatan menjahit, lace/renda emas dan kertas pengeras hanya memerlukan kos kurang daripada RM50 setiap satu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN