JAMES (tengah) berkata sesuatu kepada Penolong Pegawai Daerah Sook dan Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau ketika melawat Klinik Kesihatan Mansiat Sook pada Jumaat.
KENINGAU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah Datuk James Ratib, menegaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama demi memastikan tiada ada lagi klinik kesihatan di negeri ini berasaskan bangunan kayu menjelang tahun 2025.
“Kita berharap, kerajaan pusat melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius perkara ini bagi memastikan perkhidmatan rawatan kesihatan kepada pesakit khususnya di luar bandar mahupun petugas KKM di negeri ini berada di tahap terbaik.
“Di Sabah ini banyak klinik kesihatan kita yang masih diperbuat dari kayu sejak tahun 70an jadi saya ada memohon peruntukkan khas daipada KKM supaya menjelang tahun 2025 semua klinik kesihatan di Sabah tiada ada lagi yang diperbuat daripada kayu, sebaliknya semua diperbuat daripada konkrit,” kata beliau.
James yang juga Exco Kesihatan Kerajaan Negeri Sabah menyatakan perkara ini kepada media selepas melawat kabin Klinik Kesihatan Mansiat di daerah Sook pada hari Jumaat.
Sementara itu beliau turut menyentuh mengenai status pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Mansiat yang telah musnah terbakar pada 14 jun 2022 .
Beliau telah mengarahkan semula Pejabat Daerah Sook agar memohon semula tanah seluas 3 ekar berbanding sebelum ini di mana permohonan tapak pembinaan hanya 2.5 ekar.
Tambahan lagi, James yang juga merupakan Adun Sugut turut berharap agar KKM dapat memberikan sebuah ambulans kepada klinik tersebut.
“Saiz tanah 2.5 ekar ini memang tidak cukup untuk membina semua klinik kesihatan yang terbakar.
Justeru kita minta kepada Penolong Pegawai Daerah di Sook supaya dapat menyediakan sebidang tanah yang luas sedikit, lebih kurang 3 ekar, bagi pembinaan semula Klinik Kesihatan Mansiat yang terbakar,” katanya.
Terdahulu, Datuk James turut melawat Klinik Kesihatan Nabawan di mana dalam lawatan berkenaan, antara isu yang telah dibangkitkan ialah ramai pesakit buah pinggang terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi walaupun ada menerima bantuan 200-ringgit disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM.
Bantuan itu, katanya, masih tidak mencukupi disebabkan pesakit terdiri dari golongan kurang berkemampuan dan tinggal jauh sehingga ada yang tidak sanggup ke Hospital Keningau untuk rawatan hemodialysis.
Sehubungan itu, beliau berharap KKM agar mempunyai inisatif untuk menambah peruntukkan bantuan kepada golongan ini.