KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Bin Sanna menegaskan bahawa satu siasatan menyeluruh dan telus akan dijalankan berkenaan kes seorang remaja yang meninggal dunia di sini baru-baru ini.
“Jabatan ini ingin memberikan maklum balas kepada berita yang tular di media sosial dan media massa berkenaan dengan seorang remaja yang meninggal dunia akibat denggi yang didakwa berpunca dari kelemahan diagnosa pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran.
“Untuk makluman, siasatan awal telah dilaksanakan oleh Jabatan ini dengan menyemak rekod perubatan pesakit semasa kedatangannya di Jabatan Kecemasan Trauma, Hospital Tuaran, sebanyak dua kali iaitu pada 25 Disember 2023 dan 28 Disember 2023.
“Pesakit lelaki tempatan berusia 18 tahun dari Kg Bulieng, Tuaran itu telah hadir ke pada jam 11:23 pagi, 25 Disember 2023 dengan gejala sakit ulu hati (‘epigastric pain’) dan muntah-muntah selama 1 hari,” katanya.
Berdasarkan rekod, Dr Asits memberitahu bahawa pesakit tidak mengadu sebarang gejala lain seperti demam, cirit-birit, sakit dada atau sesak nafas, malahan pemeriksaan tanda vital semasa menerima rawatan juga adalah stabil dengan bacaan suhu adalah normal.
Katanya, pesakit telah diberi rawatan ubat gastrik dan ubat tahan muntah melalui suntikan intravena dan dibenarkan pulang selepas lebih kurang satu jam pengawasan di zon pemerhatian.
“Pesakit kemudian telah dibenarkan pulang dengan ubat tahan sakit, ubat gastrik, dan turut dinasihatkan untuk datang semula dengan segera ke hospital jika gejala bertambah teruk,” katanya.
Walaubagaimanapun, tambah Dr Asits, pesakit telah datang semula ke Unit Kecemasan Trauma, Hospital Tuaran pada 28 Disember 2023 jam 8.50 pagi kerana mempunyai gejala pendarahan dari hidung, demam, muntah-muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.
“Pesakit kemudiannya telah diperiksa oleh Pakar Perubatan Kecemasan yang bertugas di Hospital Tuaran dan disahkan menghidap penyakit Denggi pada kedatangan kali kedua ini.
“Memandangkan keadaan pesakit ketika itu tidak stabil, pesakit telah dirujuk dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut pada jam 11.30 pagi pada hari yang sama.
“Namun demikian, pesakit disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), QEH pada hari berikutnya,” kata beliau.
Dr Asits menegaskan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah memandang serius kes ini, dan satu siasatan yang menyeluruh dan telus sedang dalam proses untuk mengenalpasti tindakan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan kesihatan kepada rakyat di negeri Sabah.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa berusaha dari masa ke semasa untuk meningkatkan kualiti rawatan di Hospital Tuaran.
“Kini, Hospital Tuaran telah mempunyai empat orang pakar yang bertugas iaitu seorang pakar perubatan am, dua orang pakar pediatrik dan seorang pakar perubatan kecemasan,” jelas beliau.