Oleh: Dr. Jurry Foo
(jurryfm@ums.edu.my)
Pensyarah Kanan, Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.
Diterbitkan Oleh: Aduka Jasnin Suman
TIMUN DURI (Sechium edule) atau lebih dikenali sebagai Timun Jepun dalam kalangan masyarakat di Sabah ialah sejenis tumbuhan menjalar berbuah yang lazimnya banyak terdapat di kawasan tanah tinggi di Ranau, khususnya di Kundasang. Pucuk Timun duri ini amat popular dalam kalangan pengguna namun berlainan pula dengan buahnya yang seringkali berakhir sebagai sisa sayuran yang dibuang dan dibiarkan tumbuh di sekitar gerai sayuran.
Tinjauan awal dan hasil temubual dengan peniaga gerai sayur sepanjang perjalanan dari Ranau ke Kota Kinabalu mendapati bahawa lambakan dan pembaziran buah Timun duri sering berlaku kerana masih ramai pengguna tidak mengenali spesies tersebut malahan tidak mengetahui cara pengambilannya atau pemprosesannya (masak) sebagai makanan. Ini juga terbukti melalui maklum balas beberapa pelayar Facebook yang menyatakan bahawa meraka kekurangan pengetahuan tentang spesies tersebut misalnya:
Pelayar FB1: “ tidak pernah makan timun ini”
Pelayar FB2: “…dibiarkan begitu sahaja. Inggat tidak boleh makan…”
Pelayar FB3: ”…First time menetap Sabah,baru pernah try lihat & makan..kuingat guava rupanya timun duri..”
Rentetan daripada situasi dan maklumbalas yang diperolehi daripada tinjauan awal itu, maka atas kapasiti penyelidikan mengoptimumkan kearifan tempatan menguruskan sumber hasil pertanian semasa pandemik COVID-19 (SGI0111-2020) yang dibiayai UMS, cadangan memproses Timun duri sebagai makanan terproses telah dicetus dan dikongsikan melalui bengkel yang telah diadakan secara dalam talian.
Puan Maisih Sumbin telah menjadi sukarelawan menyahut seruan sebagai wakil komuniti perintis dalam menghasilkan serunding Timun duri versi beliau sendiri menggunakan kaedah asas yang diperkenalkan penyeldiik UMS. Serunding Timun duri yang dihasilkan adalah sangat unik dan memenuhi citarasa pengguna sehingga mendapat permintaan dalam pasaran walaupun ia merupakan produk percubaan yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri pada peringkat permulaan.
Oleh kerana ia dilihat mempunyai potensi pasaran yang cerah, kajian pembangunan produk ini akan dicadangkan untuk diteruskan dalam fasa seterusnya. Walau bagaimanapun pihak UMS mengalukan mana-mana pihak sama ada dari pihak kerajaan mahupun swasta untuk bekerjasama dengan pihak UMS dan komuniti khususnya dari segi suntikan dana dan kepakaran demi menghasilkan produk yang berkualiti dan dapat membantu dalam pembangunan sosioekonomi komuniti terlibat dan seterusnya mengatasi lambakan Timun duri. Untuk mencuba produk Timun duri boleh menghubungi Puan Maisih Sumbin di laman Facebook beliau https://www.facebook.com/myc.elusie.