28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 13, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Seramai 98 orang penjawat awam di Sabah dikesan terlibat penyalahgunaan dadah

Safar (kedua kiri), Elmariah (kiri) dan lain-lain menunjukkan banner kempen Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD)


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kadar penagihan sebanyak 246 orang dalam setiap 100,000 penduduk, yang mana ia masih selari dengan sasaran nasional iaitu tidak melebihi 400 orang.


Walaubagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Sr. Haji Safar Bin Untong berkata, trend peningkatan ini secara keseluruhan menjadi cabaran dan kebimbangan yang serius.


“Berdasarkan data statistik, masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan yang membimbangkan pada tahun 2024 di mana seramai 192,857 individu telah dikesan di seluruh negara, melonjak sebanyak 32.5% berbanding 145,526 orang pada tahun 2023.


“Di negeri kita pula, jumlah penyalah guna dan penagih dadah yang dikesan pada tahun 2024 adalah seramai 9,207 orang, meningkat 7.5% berbanding 8,567 orang pada tahun sebelumnya,” katanya.


Safar berkata, statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan pada tahun 2024 terdapat seramai 98 orang penjawat awam di negeri ini dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah berbanding dengan jumlah 81 orang pada tahun 2023.


Trend ini, katanya, menunjukkan peningkatan sebanyak 17.3 peratus dengan jumlah keseluruhan seramai 405 kes penjawat awam terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi tempoh lima tahun mulai 2020 sehingga 2024.


Beliau berkata demikian sempena perasmian Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang diadakan di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu pada Khamis lepas.


“Seminar TEKAD yang dianjurkan oleh AADK Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah kali ini adalah merupakan satu usaha meningkatkan pengetahuan mengenai ancaman penyalahgunaan dadah kepada semua peringkat organisasi kerajaan sama ada di peringkat ketua jabatan mahupun di peringkat pekerja.


“Seminar ini memberi pendedahan tentang langkah-langkah pencegahan serta pengurusan situasi berkaitan dengan penyalahgunaan dadah di tempat kerja dalam memelihara persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.” katanya.


Tambah beliau, penyalahgunaan dadah di tempat kerja membawa kepada pelbagai masalah yang serius termasuk penurunan produktiviti dan kualiti kerja.


“Pekerja yang berada di bawah pengaruh dadah cenderung menjadi seorang individu yang kurang fokus, membuat lebih banyak kesilapan, dan tidak dapat melaksanakan tugas dengan cekap. Ini secara langsung menjejaskan kualiti output dan produktiviti keseluruhan jabatan.


“Peningkatan ketidakhadiran dan kelewatan boleh berlaku kerana penagih dadah sering mengalami masalah kesihatan fizikal dan mental, menyebabkan mereka lebih kerap tidak hadir bekerja atau datang lewat.


“Ini mengganggu aliran kerja dan memerlukan pekerja lain untuk menampung beban tugas yang terabai,” katanya.


Di samping itu, katanya, golongan pekerja yang terjerumus dengan penyalahgunaan dadah berpotensi dengan implikasi terhadap masalah disiplin dan tingkahlaku.


“Penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan perubahan tingkahlaku seperti mudah marah, agresif atau kurang ajar. Keadaan ini boleh merosakkan suasana kerja dan menyebabkan konflik antara rakan sejawat.


“Selain itu, risiko kecurian dan penipuan berlaku apabila seseorang individu yang telah terjerumus ini terdesak untuk menampung ketagihan mereka dengan mendapatkan wang dengan cara mencuri harta benda di tempat kerja atau melakukan penipuan kewangan.


“Penyalahgunaan dadah di tempat kerja berpotensi mengakibatkan kerugian dan kejadian-kejadian tidak diingini seperti kecederaan, kerosakan harta benda, kehilangan nyawa dan menjejaskan imej serta nama baik sesebuah organisasi.


“Ini kerana pekerja yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah dan bahan yang terlarang akan terjejas keupayaannya untuk bekerja dengan selamat, membawa masalah kepada majikan dan menjejaskan produktiviti,” katanya.


Menurut Safar, ,asalah utama bagi isu penyalahgunaan dadah pada masa ini ialah trend penyalahgunaan dadah jenis sintetik yang telah menjadi ancaman kepada masyarakat di negara ini.


Kemunculan dadah-dadah jenis baharu seperti New Psychoactive Substances (NPS) atau dadah sintetik seperti Methamphetamine dan Amphetamine, katanya, semakin mudah diperolehi.


Tambah beliau, kesan pengambilan yang kuat, lebih murah untuk dihasilkan, dan strukturnya diubah suai untuk mengelak undang-undang sedia ada, menjadikannya sukar untuk dikesan dan dikawal.


“Justeru, usaha menangani dadah ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti agensi berkaitan dengan tempat kerja, keluarga, belia, agama dan komuniti.


“Kerjasama bersepadu dengan semua pihak ini dapat memberi kesan menyeluruh, sekaligus dapat mengawal permasalahan dadah di negara ini,” kata beliau


Beliau berterima kasih kepada AADK Negeri Sabah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah atas penganjuran program tersebut.


“Saya percaya dengan pelbagai program dan aktiviti sebegini dapat menyemarakkan lagi fungsi dan peranan setiap kementerian dan jabatan untuk mencanang maklumat baharu yang bermanfaat terutamanya yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.


Turut hadir dalam progrma itu, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah, Elmariah Chung, Ketua-Ketua Jabatan / Agensi di bawah Kerajaan Negeri Sabah, Pegawai-pegawai Daerah, Wakil-wakil Jabatan Negeri Sabah dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN