Seramai 2,139 individu dari tiga DUN terima BPN

Oleh: Salwah Aramat

Salah seorang penerima Boucer BPN disampaikan Datuk Amisah diperhatikan Syahrin (Kanan), Benedict (Kiri) dan Yubidi.

RANAU: Seramai 2,139 penduduk dari Parlimen (P.179) di sini meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Kundasang (865 orang), DUN 37 Karanaan (612 orang) dan DUN 38 Paginatan (662 orang) menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang penyampaianya berjalan lancar bertempat di Dewan Masyarakat Ranau.

Pegawai Daerah Ranau selaku penyelaras penyerahan itu, Syahrin Bin Samsir ketika ditemui memberitahu inisiatif itu dapat membantu dan memudahkan pihak bank untuk membantu mengurangkan kesesakan yang berlaku di Bank Simpanan Nasional (BSN) sekaligus membantu memudahkan urusan memproses pengeluaran kepada para penerima yang layak.

“Hari ini kita mulakan dengan penerima dari DUN Kundasang dan 25 Februari untuk penerima dari DUN Karanaan dan 26 Februari untuk penerima dari DUN Paginatan”, jelas Syahrin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik), Datuk Amisah Yassin yang mewakili ADUN Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun ketika ditemui, mengharapkan kepada para penerima agar memanfaatkan sumbangan BPN itu untuk menampung keperluan harian keluarga masing-masing terutama masa mendapani pandemik Covid-19 yang kini belum berakhir.

Antara ratusan penerima BPN dari DUN Kundasang

“Saya melihat sendiri kebanyakan yang datang hari ini adalah golongan orang muda, bererti mereka yang sangat terkesan hilang pekerjaan sama ada di kilang, restoran atau kedai.

“Maka bantuan seperti ini (BPN) sangat bermakna bagi mereka untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sangat mencabar ini disebabkan wabak Covid-19 yang belum pasti bila akan berakhir”, jelas Datuk Amisah sambil menambah, Perniagaan Homestay atau pelancongan juga turut terjejas dan terkesan para pengusahanya hilang punca pendapatan.

Hadir sama dan turut menyampaikan Boucer BPN kepada penerima ialah Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda mewakili Jonathan Yasin dan Yubidi Gompoyo mewakili ADUN Kundasang Datuk Dr.Joachim Gunsalam.