
RANAU: Seramai 200 penduduk termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari beberapa buah kampung kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang Paginatan menghadiri program taklimat SejaTI Madani (Sejahtera Komuniti) Madani di Dewan Mini Kampung Sinarut Baru di sini pada Khamis.
Taklimat yang diadakan tu merupakan anjuran dan inisiatif Pejabat Parlimen Ranau dengan kerjasama Kelab Harapan Ranau.
Majlis disempurnakan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Jawatankuasa pelaksana program itu telah dipengerusikan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda.
Benedict dalam ucapannya berkata, pihaknya mewakili jawatankuasa pelaksana, merakam penghargaan dan terima kasih atas kehadiran Jonathan yang seterusnya merasmikan program berkenaan.
Beliau juga berterima kasih atas kerjasama daripada semua staf pejabat Parlimen Ranau yang bersepadu menjayakan program itu yang turut dihadiri Pegawai E-Kasih daerah Ranau, Samdin Rijin sebagai penceramah (penyampai taklimat) serta kehadiran para peserta daripada dua DUN terlibat.
Sementara itu, Jonathan dalam ucapan perasmiannya menyeru dan mengharapkan kepada peserta agar memanfaatkan peluang menghadiri program itu untuk dijadikan panduan melaksanakan pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.
Katanya, ia untuk meningkatkan ekonomi masing-masing menerusi persatuan yang wujudkan di kawasan masing-masing.
“Menerusi program SejaTI Madani ini, kamu boleh mewujudkan program menjurus kepada peningkatan ekonomi keluarga dan masyarakat melalui dana tertentu yang disediakan pihak kerajaan,,
“Oleh itu, saya menyeru para peserta mengikuti program ceramah yang disampaikan oleh Samdin,” katanya.
Menurutnya, penduduk boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dana tertentu sebagai modal permulaan bagi memajukan sesuatu projek yang difikirkan sesuai dan boleh menjana pendapatan yang menguntungkan.
“Namun perlu diingat dana yang diperoleh, pastikan dimanfaatkan sebaik mungkin dan elakkan daripada menyalahgunakan dana, kerana itu akan merugikan semua pihak,” katanya.
Beliau juga memaklumkan pihak Pejabat Parlimen Ranau bersedia untuk membantu bagi memajukan projek yang bakal memberi input positif kepada penduduk dan masyarakat setempat.



